Bapa, anak luka gusi, lidah kunyah kaca dalam mi segera - Utusan Malaysia

Bapa, anak luka gusi, lidah kunyah kaca dalam mi segera

Ooi (kanan) menunjukkan serpihan dipercayai kaca dalam mi segera yang menyebabkan gusinya luka manakala anaknya luka pada lidah ketika ditemui di Kampar semalam. – UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Seorang lelaki penggemar mi segera luka pada gusi selepas terkunyah serpihan dipercayai kaca daripada bungkusan mi segera daripada satu jenama yang diimport.

Lelaki yang mahu dikenali sebagai Ooi, 41, berkata, kejadian pada 17 Julai lalu itu juga menyebabkan anak perempuannya berusia tiga tahun luka pada lidah akibat terkunyah serpihan sama.

Menurut Ooi, dia membeli mi segera tersebut pada 13 Julai dan melihat tarikh luput pada 3 September ini dan memasaknya untuk dinikmati.
“Semasa menikmati makanan itu, anak saya menjerit lalu menangis sambil mengadu sakit mulut.

“Saya pula terasa sakit pada gusi. Semasa saya buang apa yang dikunyah saya menemukan serpihan seperti kaca,” ceritanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Ooi mengesyaki serpihan kaca itu dalam perencah mi segera dan akibat kejadian tersebut dia dan anaknya masih rasa sakit.

“Saya tidak membuat pemeriksaan di klinik atau hospital cuma membeli ubat di farmasi,” katanya.

Menurutnya, dia telah menghubungi syarikat mi segera tersebut dan diberitahu serpihan yang terdapat dalam mi tersebut adalah serpihan kristal.

“Syarikat mi segera itu beritahu serpihan kristal itu selamat untuk dimakan dan akan larut di bawah suhu yang betul tetapi pada bungkusan produk tidak dinyatakan tentang serpihan kristal yang dimaksudkan,” katanya.

Menurutnya, dia kesal kera­na syarikat itu hanya mahu mengambil semula bungkusan mi segera tersebut dan bukannya memeriksa sama ada ia selamat dimakan atau tidak.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Chong Zhemin menggesa syarikat mi segera itu menarik balik produk yang dikeluarkan pada tarikh yang tercatat pada bungkusan yang dibeli oleh Ooi.

Katanya, beliau akan melaporkan kes itu kepada pihak yang berkaitan termasuk Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk siasatan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN