Banyak parti ‘bidik’ Parlimen Batu?

Banyak parti ‘bidik’ Parlimen Batu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekali lagi Parlimen Batu yang terletak dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadi tum­puan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kali ini banyak muka baharu yang cuba mengintai peluang dan mahu mencabar kubu kuat PKR sejak 2008 itu.

Saingan sudah semestinya datang daripada Barisan Nasional (BN) dan Parti Gerakan yang kini menyertai Perikatan Nasional (PN).

Bukan itu sahaja, penyandangnya, P. Prabakaran yang bertanding atas tiket Bebas juga dijangka berdepan dengan calon Bebas dan parti lawan yang memberi tentangan sengit.

SITI KASIM

Antara nama disebut-sebut dan berminat mengintai kerusi itu adalah peguam dan aktivis hak asasi manusia, Siti Zabedah Kasim atau dikenali Siti Kasim.

Selain itu, Parlimen Batu juga dijangka menjadi rebutan antara UMNO dan MCA yang mahu mempertaruh calonnya sendiri.

Namun, kelebihan dijangka memihak kepada UMNO dise­babkan MCA tidak mempunyai tempat dan kurang aktif di kawasan berkenaan.

Untuk UMNO, perebutan ‘siapa mahu jadi calon’ boleh diketengahkan dalam kalangan pemimpin di peringkat bahagian.

Parti ini mempunyai beberapa nama antaranya Datuk Seri Yahaya Mat Ghani yang merupakan Ketua Bahagian UMNO Batu selama tiga penggal dan Gulam Muszaffar Gulam Mustakim yang juga Setiausaha UMNO bahagian tersebut.

Namun, tidak mustahil berlaku kejutan sekiranya nama yang mungkin agak asing iaitu Arabath Ali Arul Alavudeen mewakili BN untuk bertanding pada PRU15.

Sekiranya ini terjadi, keputusan dibuat berdasarkan komposisi kaum di Parlimen Batu dan kelebihan beliau yang mampu bertutur dalam bahasa Tamil selain kerja kebajikan yang sering dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah seliaannya.

Sebagai rekod komposisi kaum Melayu (43 peratus), Cina (30 peratus), India (20 peratus) dan lain-lain tujuh peratus di Parlimen Batu.

Dalam pada itu, teka-teki siapa calon PKR juga timbul sama ada Prabakaran atau penyandang sebelumnya, Tian Chua yang telah memegang kawasan itu selama dua penggal.

Kalau dilihat kepada potensi, sudah tentu memihak kepada Prabakaran yang le­bih menyerlah sebagai wakil rakyat hari ini dan memenangi majoriti lebih besar dalam PRU14.

Siapapun calon diletakkan, paling penting rakyat mahu wakil rakyat berkredibiliti yang boleh memberi khidmat terbaik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN