KLUANG: ‘Bantulah dapatkan semula MyKad saya.”
Demikian luahan seorang bapa tunggal, Mohd. Ali Mohd. Yusof, 52, di Kampung Sembrong Lapis, di sini yang kehilangan dokumen terpenting itu.
Lebih merunsingkan, MyKad miliknya kini digunakan oleh individu lain menjadikan kehidupan lima beranak itu ibarat pendatang asing di tanah air sendiri.
Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga apabila pelbagai masalah datang silih berganti sejak 3 tahun lalu.
Selepas kematian isterinya, Allahyarhamah Faridah Subuh kira-kira lima tahun lalu, Mohd. Ali memberitahu, satu persatu masalah timbul terutamanya apabila kad pengenalannya yang dikatakan turut dimiliki dan digunakan oleh individu lain oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sehingga menyebabkan dokumen dirinya ditarik semula kira-kira tiga tahun lalu.
“Pelbagai usaha untuk mendapatkan semula kad pengenalan sudah dilakukan, malah setiap syarat yang diminta juga sudah dipenuhi namun tetap tidak berhasil.
“Selepas tahu IC (MyKad) saya digunakan orang lain, saya terus buat laporan tiga tahun lalu di Ibu pejabat Polis (IPD) Kluang.
“Sekiranya saya ada kad pengenalan, mungkin pada usia seperti ini boleh memohon pekerjaan yang lebih baik untuk menyara kehidupan keluarga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia,baru-baru ini.
Mohd. Ali, turut sukar meninggalkan rumah adalah dua anaknya, lelaki dan perempuan berusia 16 serta 17 tahun yang mengalami masalah kemurungan selepas kehilangan ibu sehingga menjejaskan mental mereka.
Kedua-duanya masih belum dapat pengesahan daripada pihak berkaitan untuk mengkategorikan mereka sebagai orang kurang upaya (OKU).
“Anak bongsu berusia tujuh tahun juga terpaksa tidak dihantar ke sekolah akibat masalah kewangan kerana bekerja sebagai pencari barang-barang lusuh dan pendapatannya tidak menentu.
“Seorang lagi anak saya yang berusia 22 tahun juga sudah keluar rumah kerana mahu mencari kehidupan yang lebih baik dan kini saya tidak tahu di mana dia berada, semua anak-anak saya ada IC,” katanya.
Berkongsi perjalanan hidup mereka, Mohd. Ali, memberitahu, untuk makan minum tiga orang anaknya itu ada ketikanya disumbangkan oleh penduduk berdekatan rumah atau dibeli sendiri sekiranya mendapat hasil yang lebih baik.
“Jika boleh mendapat rumah yang lebih sempurna daripada kediaman yang disewa dengan bayaran RM100 ini, sudah pasti akan memudahkan saya keluar mencari rezeki lebih baik,” katanya.
Justeru, dia amat berharap ada pihak dapat membantu keluarganya supaya dapat mengubah kehidupan yang lebih pada masa akan datang.
Bagi mereka yang ingin membantu meringankan beban keluarga Mohd. Ali boleh menghubungi Suriha Ghani menerusi talian 011-36196778.
Suriha merupakan jiran Mohd. Ali yang ketika ini menjaga kebajikan keluarga berkenaan. –UTUSAN ONLINE