fbpx

Bangunan baharu SMA Chuah hanya boleh digunakan selepas dapat CPC

BANGUNAN baharu SMA Chuah di Chuah, Port Dickson masih belum boleh digunakan walaupun dikatakan telah siap sejak dua tahun lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN: Bangunan baharu Sekolah Menengah Agama (SMA) Chuah di Port Dickson masih tidak boleh digunakan kerana Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) bangunan berkenaan belum dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pendidikan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan Dan Modal Insan negeri, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek menjelaskan, isu melibatkan bangunan baharu SMA Chuah tersebut memang menjadi perhatian dan tindakan Jabatan Pendidikan Negeri, Negeri Sembilan sentiasa merujuk kepada Kementerian Pendidikan bagi mendapatkan maklumat terkini.

Menurutnya, bangunan itu masih lagi di bawah Kementerian Pendidikan dan pihaknya dimaklumkan pihak kontraktor pembinaan memohon lanjutan tempoh masa (EOT) daripada pihak Bahagian Pembangunan, Kementerian Pendidikan.

“Bahagian Pembangunan Kementerian Pendidikan memproses permohonan tersebut seperti dinyatakan dalam syarat-syarat kontrak. Permohonan EOT tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat EOT yang akan diadakan pada 15 Ogos ini.

“Setelah kelulusan EOT itu diperoleh, Bahagian Pembangunan Kementerian Pendidikan akan mengesyorkan kepada pihak Setiausaha Bahagian Pembangunan untuk pengeluaran CPC kemudian barulah bangunan itu boleh digunakan,” katanya.

Mohamad Rafie berkata demikian dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di di sini semalam.

Walaupun dikatakan dua tahun disiapkan, bangunan bangunan baharu SMA Chuah sehingga kini masih tidak lagi boleh digunakan dan perkara tersebut dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Abdul Rahman Mohd. Redza di dalam sidang DUN, kelmarin.

Utusan Malaysia semalam turut melaporkan gesaan ibu bapa bagi pelajar-pelajar sekolah berkenaan terhadap pihak berwajib supaya dapat menyegerakan proses pemindahan pelajar dan guru-guru ke bangunan baharu sekolah itu yang dikatakan telah pun siap sejak dua tahun lalu.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit, Norshamsul Azmi Mohd. Nor berkata, sehingga kini seramai hampir 200 pelajar sekolah terbabit masih terpaksa menggunakan bangunan lama termasuk kelas diperbuat daripada kabin yang menumpang di kawasan Masjid Kariah Kampung Chuah. –UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!