Awan Kelantan sokong RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 - Utusan Malaysia

Awan Kelantan sokong RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022

Dr. Hafidzah Mustakim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Angkatan Wanita Amanah (Awan) Kelantan menggesa semua ahli Parlimen memberi sokongan sebulat suara kepada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 menerusi Dasar Generasi Penamat (GEG).

Ketuanya, Dr. Hafidzah Mustakim berkata, ahli Parlimen sebagai pembuat dasar dan undang-undang tertinggi negara perlu bersatu hati dan meletakkan kepentingan kesihatan rakyat sebagai keutamaan.

Menurutnya, RUU berkenaan adalah satu bentuk kawalan perundangan bagi melarang generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 dan ke atas terlibat dalam aktiviti merokok seperti menggunakan, menghisap atau memiliki sebarang produk berkait dengan perkara tersebut.

“Semua ahli Parlimen perlu bersatu hati untuk memberi sokongan kepada RUU berkenaan yang telah dibaca buat kali kedua di Dewan Rakyat baru-baru ini.

“RUU tersebut akan melindungi kesihatan generasi akan datang daripada masalah ketagihan nikotin serta bahan kimia berbahaya akibat produk tembakau dan merokok termasuk vape,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr. Hafizah turut menjelaskan bahawa Malaysia mempunyai kadar perokok yang tinggi pada ketika ini iaitu sebanyak 40.5 peratus dalam kalangan lelaki dan 20 peratus dalam kalangan wanita.

Katanya, kadar kelaziman penghisap rokok dalam kalangan remaja juga dilihat meningkat kepada 20 peratus.

“Walaupun kerajaan mungkin kehilangan punca pendapatan daripada cukai tembakau, namun di sudut lain ia akan memberikan manfaat dan keuntungan berganda dalam jangka masa panjang.

“Kos rawatan untuk tiga penyakit utama berkaitan rokok seperti penyakit kardiovaskular, pernafasan dan kanser dianggarkan mencecah RM3 bilion. Ada lebih 30 penyakit berkaitan rokok. Maknanya kos rawatan sebenar ditanggung kerajaan adalah jauh lebih tinggi,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya