Aniq, Ain Nabilah dijanjikan insentif kecemerlangan khas dan wang

Aniq, Ain Nabilah dijanjikan insentif kecemerlangan khas dan wang

MOHD. Sazili Shahibi menyerahkan bendera kontinjen UiTM kepada wakil atlet universiti itu dalam SUKIPT 2022 di Dewan Kompleks Sukan UiTM di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat pada Sukan Komanwel Birmingham bakal menerima insentif kecemerlangan khas termasuk wang sagu hati.

UiTM bersetuju memberikan insentif khas terutama pengecualian yuran pengajian dan kolej kediaman kepada mahasiswa berkenaan.

Kedua-dua mereka iaitu atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan dan atlet boling padang, Nur Ain Nabilah Tarmizi yang masing-masing meraih emas dan perak dalam temasya antarabangsa itu.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi berkata, pihaknya amat berbangga dengan kejayaan dua atlet universiti itu yang menyumbang pingat buat kontinjen Malaysia.

“Selain itu, kedua-dua penuntut Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi berkenaan akan diberikan laluan khas untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. 

“Kita semestinya turut memberikan hadiah sagu hati kepada Mohamad Aniq dan Ain Nabilah yang jumlahnya akan ditentukan pengurusan UiTM nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis penyerahan bendera Kontinjen UiTM ke Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2022 di Kompleks Sukan UiTM di sini, hari ini.

Pada 30 Julai lalu, Mohamad Aniq, 20, menghadiahkan emas pertama negara selepas memenangi acara angkat berat 55 kilogram (kg) dengan angkatan keseluruhan 249 kg.

Trio boling padang yang turut disertai Nur Ain Nabilah pula membawa pulang perak selepas tumpas 9-17 kepada England pada aksi final acara triples wanita pada 6 Ogos lalu.

Jelas Mohd. Sazili, kejayaan manis itu turut menjadi motivasi utama kepada atlet UiTM yang menyertai SUKIPT di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak bermula esok hingga 21 Ogos depan.

Tambah beliau, UiTM menerusi Pusat Sukannya akan cuba mengenal pasti atlet pelapis lain yang berpotensi untuk menyinar di peringkat lebih tinggi terutama antarabangsa.

“Sebagai contoh, kita mempunyai atlet berpotensi bagi sukan angkat berat seperti Aniq yang amat menyinar sehingga meraih pingat penting buat negara.

“Justeru, atlet seumpama itu perlu dicari dan dicungkil bakatnya bagi memastikan wujudnya generasi pelapis masa akan datang,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya