Anggota, pegawai IPK Kelantan sudah diberi taklimat PRU15

Anggota, pegawai IPK Kelantan sudah diberi taklimat PRU15

MUHAMAD Zaki Harun (tiga dari kiri) menyediakan hidangan Bubur Asyura bersama pihak persatuan polis pencen,anggota dan pegawai IPK, sempena Program Mahabbah Bubur Asyura peringkat IPK, Kota Bharu, Kelantan hari ini.-UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Semua anggota dan pegawai polis di negeri ini sudah diberikan taklimat mengenai pelaksanaan tugasan sekiranya Dewan Rakyat dibubarkan dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, taklimat yang diberikan kepada seluruh warga IPK Kelantan itu itu memfokuskan kepada perkhidmatan polis semasa pelaksanaan PRU15.

Menurutnya, sehubungan itu, polis Kelantan akan menjalankan latihan dan strategi agar pasukan berada pada tahap yang maksimum.

“Kita turut bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.

“Berdasarkan situasi semasa, semua petugas di IPK Kelantan sudah bersedia sekiranya PRU15 diadakan pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Mahabbah Bubur Asyura Peringkat IPK Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, persiapan logistik dan keanggotaan yang ditugaskan di lapangan merupakan isu penting yang perlu diberi perhatian sepanjang PRU-15.

Katanya, persiapan kedua-dua aspek itu perlu dititik beratkan kerana situasi menjelang pilihan raya kali ini berkemungkinan lebih mencabar berbanding PRU14.

“Setakat ini, persiapan anggota Pasukan Unit Tempur Ringan (LSF) sedang dipergiatkan melibatkan anggota lelaki dan wanita di seluruh daerah.

“LSF merupakan unit penting sebagai persediaan bagi mengatasi sebarang situasi melibatkan ancaman ketenteraman awam ketika PRU-15,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN