Aksi model seksi Minggu Fesyen Kedah 2022, penganjur akan dipanggil - Utusan Malaysia

Aksi model seksi Minggu Fesyen Kedah 2022, penganjur akan dipanggil

MODEL berpakaian seksi ketika tampil dalam peragaan bagi Minggu Fesyen Kedah 2022 baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penganjur Minggu Fesyen Kedah 2022 (KFW22) akan dipanggil memberi penjelasan berhubung penampilan yang didakwa mencolok mata seorang model yang mengambil bahagian dalam acara berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, tindakan akan dikenakan ke atas pihak berkenaan jika mereka didapati melanggar peraturan yang ditetapkan.

Katanya, hasil semakan awal mendapati pihak penganjur juga tidak memohon permit dan tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya menerima aduan mengenai penganjuran KFW22 yang menampilkan model dengan pakaian yang mencolok mata.

“Pihak saya akan memanggil penganjur, meminta penjelasan dan mengenakan tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini.

Semalam, tular dalam media sosial gambar model wanita yang berpakaian mencolok mata pada KFW22 di sebuah pusat beli-belah di sini yang berlangsung pada minggu lepas.

Penampilan model berkenaan yang dipercayai memperagakan pakaian untuk acara itu turut meraih kritikan netizen yang beranggapan ia tidak wajar.

Dr. Mohd. Hayati sebelum itu turut mengeluarkan kenyataan agar penganjur KFW22 mematuhi peraturan serta syarat-syarat melalui kelulusan lesen hiburan yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Kota Setar.

“Sewajarnya pakaian yang diperagakan mestilah sopan serta tidak menjolok mata.

“Walaupun pertunjukan fesyen antara acara yang dibenarkan di dalam Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997, namun, diharapkan pakaian yang diperagakan mestilah sopan bersesuaian dengan budaya timur,” katanya.

Beliau menjelaskan, KFW22 di luar bidang kuasa pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), manakala urusan kebenaran dan lesen dikeluarkan oleh pejabat daerah.

“MBAS hanya menjalankan tugas-tugas pemantauan untuk memastikan syarat serta peraturan yang ditetapkan dipatuhi pihak penganjur,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya