SEREMBAN: Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini berlangsung cukup meriah dengan kawasan sambutan telah dibanjiri orang ramai sejak pukul 6.00 pagi.
Turut berangkat mencemar duli pada majlis berkenaan, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir serta Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Razali Ab Malik.
Baginda tiba kira-kira pukul 8.15 juga disambut dengan lintas hormat helikopter jenis Agusta A109 LOH Tentera Udara Malaysia (TUDM) yang dikoordinasi Tentera Darat Malaysia dengan membawa Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sembilan.
Sambutan kemudian dimulakan dengan Istiadat Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada tiga orang pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Mejar Muhammad Asyraf Nazarudin.
Istiadat tersebut turut diiringi oleh Pancaragam Gabungan Pusat Latihan Tentera Darat (Pusasda) dan dan Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja yang dipimpin oleh Drum Major Sarjan Azuan Zakaria.
Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara yang diketuai Menteri Besar manakala doa dibacakan oleh Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad.
Bertemakan Seutuh Tiang Di Tengah Ruang, sambutan diserikan dengan beberapa persembahan termasuk tarian dan bacaan puisi yang diselaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS).
Seperti lazimnya, sambutan hari kebangsaan turut melibatkan acara perbarisan dan kali ini ia melibatkan sebanyak 81 kontinjen merangkumi 5,000 orang peserta.
Perbarisan terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak sekolah dan institut pengajian serta syarikat swasta.
Mencuri tumpuan hadirin, tentu sekali perarakan aset artileri Tentera Darat Malaysia (TDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Sementara itu, Aminuddin ketika ditemui pemberita memberitahu, kira-kira lebih 10,000 hadir pada Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Sembilan kali ini.
“Saya melihat kehadiran rakyat pelbagai lapisan masyarakat yang cukup ramai ke majlis perarakan ini. Alhamdullilah tahniah kepada ibu bapa yang mendidik anak-anak dengan menerapkan jiwa patriotisme,” katanya. –UTUSAN