60% pengundi senyap tentu parti menang PRU15 - Utusan Malaysia

60% pengundi senyap tentu parti menang PRU15

Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 60 peratus atau 12.7 juta pengundi senyap bakal menjadi penentu kemenangan parti-parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan dijangka menyaksikan persaingan lebih lima penjuru.

Justeru, parti-parti yang bertanding perlu merebut untuk memikat hati sokongan kumpulan pengundi senyap tersebut sekiranya mereka mahu menang dengan selesa dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sekali gus berupaya membentuk Kerajaan Persekutuan mahupun negeri secara solo dan tidak bergabung dengan mana-mana parti.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, PRU15 bukan sahaja sengit malah boleh dikatakan ‘ibu segala pilihan raya’ kerana kehadiran gabungan-gabungan parti politik baharu yang mengetengahkan calon masing-masing memberi saingan besar untuk memikat pengundi atas pagar.

Menurut beliau, PRU akan datang dilihat berbeza berbanding pilihan raya sebelum ini dengan pertambahan ketara pemilih seramai 5.8 juta orang yang mana 1.2 juta orang adalah terdiri daripada anak muda berusia 18 hingga 20 tahun daripada keseluruhan 21.1 juta pengundi.

“Terdapat baki 40 peratus pengundi dalam kalangan ahli dan penyokong masing-masing, ini tiada masalah kerana mereka sudah pastinya akan memilih parti masing-masing, tetapi bagaimana dengan 60 peratus pengundi senyap yang kita tidak tahu apakah kecenderungan mereka dan ia bergantung kepada calon diketengahkan dan isu-isu semasa.

Sokongan

“Justeru, parti-parti bertan­ding perlu merebut untuk menarik sokongan pengundi senyap jika mereka mahu menang pilihan raya, apatah lagi gabungan sudah banyak maka sudah pasti beri saingan sengit untuk memikat hati pengundi,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau perlu mempertimbangkan pelbagai perkara sebelum membubarkan Parlimen ke-14 termasuk menangani isu projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) demi memastikan Barisan Nasional (BN) menang PRU15.

Sebaliknya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menggesa PRU15 diadakan dengan segera atau berdepan kekalahan UMNO dan BN.

Dalam pada itu, Wan Ahmad menjangkakan peratusan keluar mengundi meningkat lebih 80 peratus seperti mana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) setelah melihat pertambahan pengundi di samping isu-isu semasa yang melanda tanah air sejak kebelakangan ini.

Katanya, perkembangan ledakan teknologi yang memberi ruang penyampaian maklumat lebih meluas menjadi faktor penting pengundi untuk keluar mengundi apabila mereka mengharapkan kertas undi mereka mampu mencetuskan perubahan baharu tampuk kepimpinan kerajaan.

“Selain itu, tidak tolak kemungkinan parti-parti meletakkan lebih ramai calon muda, ini sekali gus menjadi penarik untuk pengundi keluar mengundi,” katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad memaklumkan, jumlah calon bertanding PRU15 meningkat dua kali ganda atau sekurang-kurangnya 4,666 orang berbanding berbanding 2,333 calon ketika PRU14 untuk merebut 222 Parlimen dan 361 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, jangkaan itu berdasarkan kewujudan gabungan parti politik seperti Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) di samping parti-parti baharu seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

“Jumlah ini tidak termasuk lagi calon-calon bebas dan parti-parti kecil lain yang dikatakan mahu mencuba nasib dalam PRU15. Jadi PRU akan datang bukan sahaja ramai pengundi baharu, tetapi mungkin ramai calon bertanding mungkin boleh catat rekod sejarah PRU,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN