4,608 kes 'scammer' di Selangor - Utusan Malaysia

4,608 kes ‘scammer’ di Selangor

MOHD. Zawawi Ahmad Mughni (kiri) menunjukkan aplikasi Whoscall selepas melancarkannya di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penipuan dalam talian atau scammer mencatatkan peningkatan di Selangor apabila sebanyak 4,608 kes direkodkan sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini menerusi aduan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, jumlah itu meliputi sebanyak 1,136 kes yang melibatkan transaksi dalam talian, malah, laporan tersebut turut menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

“Aktiviti penipuan itu kini menjadi ancaman serius kerana mengakibatkan mangsa kehilangan sehingga ratusan ribu ringgit.

“Keadaan itu mula berlaku sejak pandemik Covid-19 melanda terutama melibatkan transaksi wang tunai secara dalam talian,” katanya dalam ucapan perasmian Forum Kesedaran Penipuan Dalam Talian dan Pelancaran Aplikasi Whoscall di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai terus peka dan berwaspada bagi mengelak menjadi mangsa penipuan itu.

“Sebagai contoh, kita jangan terlalu obses untuk mempamerkan kemewahan atau harta di media sosial. Ia berikutan perkara seumpama itu akan dipantau scammer untuk dijadikan sebagai sasaran mangsa mereka,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kes scammer di Selangor terus berada di tahap membimbangkan dengan mencatatkan RM59.6 juta dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed memaklumkan ia melibatkan 1,354 kes dengan penipuan paling tinggi adalah Macau Scam.

Dalam pada itu, Mohd. Zawawi memaklumkan, kerjasama kerajaan negeri dan Whoscall melibatkan penganjuran seminar atau kempen kesedaran mengenai aktiviti penipuan di negara ini.

“Whoscall merupakan aplikasi yang diperkenalkan sejak 2018 bagi membantu mengesan panggilan telefon dan dapat mengesan identiti pihak tertentu terutama scammer. Kita berharap kerjasama ini dapat meningkatkan kesedaran pelbagai pihak sekali gus mengurangkan kes penipuan dalam talian,” jelasnya. –UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.