41 gelandangan kembali ke pangkuan keluarga - Utusan Malaysia

41 gelandangan kembali ke pangkuan keluarga

AMINUDDIN Harun (berdiri lima dari kanan) memerhatikan penghuni menjalani senaman ringan selepas merasmikan Rumah Minda Ceria di Rahang dekat Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 41 gelandangan yang disantuni oleh Rumah Minda Ceria (RMC) di sini sejak dua tahun lalu berjaya kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, seramai empat orang lagi mampu berdikari melalui program penempatan pekerjaan.

Katanya, tiga orang lagi sedang menjalani rawatan psikiatri di hospital dan seorang meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Pada masa ini, terdapat seramai lapan orang penghuni di RMC yang sedang menjalani proses pemulihan dan rawatan.

“Sehingga 31 Julai lalu, seramai 57 orang penghuni disantuni oleh RMC,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian RMC di Rahang dekat sini hari ini.

Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Rosnah Sardi.

Majlis perasmian itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Nicole memberitahu, RMC atau rumah transit itu telah ditubuhkan di negeri ini melalui pembentangan bajet kerajaan negeri pada 2021.

Jelasnya, ia merupakan pusat perlindungan dan pemulihan bagi gelandangan yang tidak mempunyai tempat tinggal, tidak mempunyai pekerjaan, mengemis dan merayau-rayau dari satu tempat ke satu tempat yang lain.

“Sejak 2021 hingga kini, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM405,000 untuk RMC iaitu RM275,000 pada 2021 dan RM130,000 pada tahun ini,” ujarnya.

Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya berharap program RMC dapat membuka dimensi lebih luas kepada semua yang terlibat untuk mengetahui secara dekat perkhidmatan yang telah disediakan di fasiliti tersebut.

“Proses penjagaan dan pemulihan kepada golongan gelandangan ini merupakan satu tanggungjawab sosial bersama semua ahli dalam komuniti kita.

“Program ini justeru perlu diteruskan lagi,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya