300 pesawah rugi RM1.5 juta padi diserang penyakit BPB - Utusan Malaysia

300 pesawah rugi RM1.5 juta padi diserang penyakit BPB

ABDUL Rashid Yob (duduk kanan) bersama beberapa orang pesawah menunjukkan keadaan padi yang diserang penyakit BPB di Kampung Dulang Kechil, Yan. -UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Kira-kira 300 pesawah di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Wilayah 4, di daerah ini kerugian RM 1.5 juta ekoran tanaman padi diserang penyakit hawar bulir bakteria (BPB) pada musim tuaian kali ini.

Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia, Abdul Rashid Yob berkata, keluasan sawah padi yang terlibat adalah seluas 500 hektar membabitkan beberapa buah kampung.

Menurut beliau, antara kampung yang terlibat ialah Kampung Dulang Kechil, Kampung Dulang Besar, Kampung Sungai Limau, Kampung Sungai Lintang dan Kampung Sungai Udang.

Kata Abdul Rashid, penyakit BPB menyebabkan butir padi menjadi hampa atau tidak berisi yang seterusnya mengurangkan berat timbangan selepas tanaman itu dituai.

“Ini menyebabkan hasil tuaian padi pada musim ini berkurang kira-kira 50 peratus dan merupakan kejatuhan hasil yang paling teruk yang pernah dialami pesawah setakat ini.

“Purata hasil padi yang diperoleh pesawah kali ini sebanyak 1.2 tan metrik bagi keluasan 0.3 hektar, biasanya kawasan ini kawasan pengeluaran hasil terbesar padi MADA namun kali ini jumlah hasil yang diperoleh turun mendadak.

“Hal ini menyebabkan pesawah tertekan kerana terpaksa menanggung kerugian yang tinggi,” katanya ketika ditemui di Kampung Dulang Kechil, di sini, semalam.

Sementara itu, pesawah, Mohd. Rosdi Yahaya, 54, berkata, serangan penyakit itu boleh dikategorikan sebagai bencana kerana memberikan kerugian besar kepada ramai petani selain tiada racun khusus untuk mengatasinya.

“Keadaan ini memang perit bagi kami memandangakan kos untuk mengusahakan tanaman padi seperti racun dan baja telah meningkat namun hasil yang diperoleh berkurang.

“Saya harap pihak kerajaan dapat turun padang untuk mendengar sendiri masalah yang dihadapi pesawah dan bukan sekadar mendengar daripada agensi-agensi tertentu sahaja,” ujarnya.

Seorang lagi pesawah, Harun Ahmad, 63, berkata, dia berharap kerajaan dapat membantu mereka dari segi kewangan susulan kerugian yang dialami ketika ini.

“Separuh pendapatan kami telah hilang akibat wabak penyakit ini dan terpaksa bertahan selama enam bulan lagi dengan pendapatan yang sedikit untuk menyara hidup. Selain itu, kami perlu fikir cara mendapatkan semua modal untuk musim padi yang berikutnya,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya