3 beradik derita komplikasi jantung - Utusan Malaysia

3 beradik derita komplikasi jantung

HAFIZ AL ARSHAD menunjukkan badan anaknya Muhammad Alif dan diperhatikan oleh isterinya, Lina Rais (kiri) di Kampung Seri Màkmor Plentong, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga beradik termasuk bayi berusia 26 hari menderita komplikasi jantung termasuk jantung berlubang selain keadaan jantung terbalik.

Itulah ujian berat dialami keluarga Hafiz Al Arshad Mohammed, 41, apabila tiga daripada lima anaknya mengalami komplikasi jantung yang dikesan pada anak-anaknya itu seawal dilahirkan selain ketika berusia kurang dua minggu.

Dia dan isteri, Lina Rais, 37, dikurniakan lima anak iaitu Nursyafina, 12, Mohd. Dany Aqasha, 8, Muhammad Alif, 5, Mohd. Fikri Irshad, 3, dan Mohd. Zikri, berusia 26 hari.

Tiga anaknya yang mengalami komplikasi jantung ialah Muhammad Alif, Mohd  Fikri Irshad dan Mohd. Zikri.

“Muhammad Alif pernah menjalani pembedahan kerana jantung terbalik sebanyak dua kali  pada 2017 dan 2019 serta menelan kos pembedahan keseluruhannya kira-kira RM50,000.

“Mohd. Fikri pula menjalani pembedahan kerana masalah jantung berlubang selain membesarkan saluran pernafasan sempit pada awal tahun lalu dan kos pembedahannya mencecah RM30,000.

“Kami bersyukur kerana kesemua pembedahan yang dikendalikan di Institut Jantung Negara (IJN) difahamkan menerima pembiayaan daripada agensi berkaitan termasuk Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), namun mereka dijangka perlu menjalani dua pembedahan masing-masing susulan pada masa depan,” katanya.

Anak bongsu yang dilahirkan pada 21 Julai lalu juga disahkan menghidap komplikasi jantung dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Intensif Neonatal (NICU)  Hospital Sultan Ismail (HSI).

Bayinya tidak dapat dibawa pulang ke rumah sejak dilahirkan kerana berisiko, sebaliknya dia mengunjungi anaknya setiap hari bagi mengetahui perkembangannya.

Namun, dia dan isterinya tidak pasti sama ada berpeluang menemani Mohd. Zikri untuk menjalani pembedahan lagi di IJN tidak lama lagi kerana kekangan kewangan keluarga.

“Saya bukan tidak berusaha, namun pendapatan harian hanya RM80 dan tidak tetap dan hanya menerima gaji harian, sekiranya tiada tugasan, tiada gaji,” katanya yang bekerja sebagai jurukimpal.

Bukan sahaja keadaan kesihatan tiga anaknya yang merunsingkan, malah Hafiz juga buntu berkaitan masa depan anak-anaknya kerana masih belum bersekolah walaupun tiga daripada mereka sepatutnya sudah mengikuti pelajaran di sekolah rendah.

“Memandangkan anak ketiga dan keempat bermasalah kesihatan, saya terpaksa berulang-alik ke hospital sekiranya mereka mengalami sebarang masalah kesihatan manakala mereka juga perlu menjalani pemeriksaan susulan di IJN dua kali setahun.

“Saya menampung kos sewa rumah RM300 sebulan selain perbelanjaan dapur serta susu serta kos pembelian lampin pakai buang bagi anak,” katanya yang tinggal di Kampung Sri Makmur, Plentong di sini.

Hafiz Al Arshad berkata, harapannya adalah supaya ketiga-tiga anaknya diberi kesembuhan dan memiliki masa depan cerah.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Hafiz Al Arshad bernombor 151017349053. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya