200 peserta Malaysia-Thai kenang tragedi Betong-Kroh - Utusan Malaysia

200 peserta Malaysia-Thai kenang tragedi Betong-Kroh

SAFUAN Salleh (tengah) menyerahkan Jalur Gemilang kepada peserta pada Majlis Konvoi Kembara Keluarga Malaysia sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibaran Jalur Gemilang negeri Perak di Memorial Tragedi Betong Kroh, Pengkalan Hulu dekat Gerik semalam. - UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Lebih 200 rakyat Malaysia dan Thailand berkumpul di Memorial Tragedi Betong Kroh di sini sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Program yang pertama kali diadakan itu melibatkan peserta dari Perak dan Kedah serta Thailand yang berkumpul bersama-sama untuk meraikan acara kibaran Jalur Gemilang sempena sambutan ulang tahun hari kemerdekaan negara kali yang ke-65.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Pengkalan Hulu, Safuan Salleh berkata, program perhimpunan itu juga untuk menyambut baton yang dibawa oleh konvoi Kembara Keluarga Malaysia yang dilepaskan oleh Perdana Menteri pada 30 Julai lalu.

Katanya, sebelum ini, baton yang dibawa berada di Pulau Pinang, Perlis dan terus ke Perak.

“Hari ini, mereka berada di kawasan Pengkalan Hulu. Ini merupakan simbolik kepada kita untuk turut sama mengibarkan Jalur Gemilang dan memeriahkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan  tahun ini.

“Dua tahun lepas kita tidak dapat meraikannya disebabkan krisis kesihatan iaitu Covid-19, kita terpenjara dan terkurung kerana melawan jangkitannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvoi Kembara Keluarga Malaysia sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibaran Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak di Memorial Tragedi Betong Kroh, Pengkalan Hulu, semalam.

Menurut Safuan, negara memasuki fasa peralihan endemik Covid-19 iaitu fasa rakyat diberi ruang menjalani kehidupan seperti dahulu bebas bergerak ke mana sahaja tanpa halangan.

Katanya, rakyat juga sudah boleh ke seberang sempadan antara negara  iaitu ke Thailand.

“Namun, kita haruslah memastikan kita terhindar daripada jangkitan Covid-19 yang masih ada lagi.

“Kerajaan juga amat prihatin dan sentiasa membantu rakyat dalam menangani masalah Covid-19  dan memastikan tahap kesihatan rakyat berada dalam keadaan baik,” katanya.

Sementara itu, Safun berkata, Memorial Tragedi Betong Kroh di sini perlu dikenang dan dijiwai dan disimpan sebaik-baiknya dalam lipatan sejarah.

“Ini  bagi mengenang jasa-jasa pahlawan yang terkorban kerana mempertahankan negara daripada musuh suatu ketika dahulu,” katanya.

Memorial itu dibina bagi mengenang peristiwa serangan hendap pengganas komunis di Kroh yang kini dikenali Pengkalan Hulu pada 1979.

Insiden berdarah ini berlaku pada 20 Julai 1979, apabila satu konvoi yang menghantar pesakit dari Baling ke Kroh diserang hendap oleh sepasukan pengganas komunis.

Konvoi yang diserang terdiri daripada sebuah ambulans, sebuah trak tentera dan dua buah kenderaan Land Rover milik tentera.

Serangan komunis itu menyebabkan tiga anggota tentera dan dua orang awam terkorban. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya