"Daripada 31 keluarga yang ditimpa kerosakan teruk akibat ribut

18 keluarga mangsa ribut pindah sementara ke PPR Taman Pelangi Indah

MOHD. JAFNI MD. SHUKOR dan Mohd. Fared menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut Flat Ros Merah, Taman Johor Jaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Setelah lima hari berkampung di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya, 18 keluarga yang terjejas teruk akibat insiden ribut di Flat Ros Merah, Taman Johor Jaya menarik nafas lega kerana akan dipindahkan ke perumahan sementara esok.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, kesemua keluarga itu akan berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pelangi Indah buat sementara waktu sehingga kerja-kerja pembaikan bumbung selesai.

Katanya, segala kos deposit kemasukan rumah PPR itu akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri selama mereka tinggal di situ. 

“Daripada 31 keluarga yang ditimpa kerosakan teruk akibat ribut itu, 18 keluarga memohon dipindahkan sementara di PPR Pelangi Indah. 

“PPR ini bersifat sementara sahaja, mangsa ribut ini akan diminta pulang semula ke rumah masing-masing selepas proses membaik pulih bumbung siap yang dijangka mengambil masa sehingga lapan minggu,” katanya ditemui selepas menyerahkan bantuan wang ihsan kepada mangsa ribut di PPS Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid.

Jumaat lalu, kira-kira 50 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya apabila kediaman mereka terjejas dan mengalami kerosakan dilanda ribut sehingga menerbangkan bumbung enam blok di kawasan itu.

Mohd. Jafni berkata, 13 keluarga yang lain memilih untuk menumpang di rumah saudara buat sementara waktu apabila PPS tersebut ditutup dalam masa dua atau tiga hari lagi.

Setiap 31 keluarga yang terjejas menerima bantuan wang ihsan sebanyak RM2,500.

“Bantuan wang ihsan ini adalah hasil sumbangan pelbagai pihak, iaitu kerajaan negeri RM1,000, Yayasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) RM1,000 dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) RM500.

“MAINJ juga menghulurkan bantuan sebanyak RM300 kepada 18 pelajar yang terkesan dengan insiden ribut ini,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Suzana Mohamed, 49, bersyukur atas sumbangan yang diberikan oleh pelbagai pihak bagi meringankan bebanan mereka yang akan pindah PPR sementara esok.

“Barang di rumah semua sudah rosak termasuk barangan elektrik seperti periuk nasi, dapur gas, peti ais dan sebagainya.

“Sumbangan ini akan digunakan untuk membeli kemudahan barangan asas. Memandangkan banyak barang yang perlu diganti, terpaksa cari peti ais yang lebih kecil dan murah buat sementara waktu,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya