1,000 ekor ayam licin dijual kurang dua jam - Utusan Malaysia

1,000 ekor ayam licin dijual kurang dua jam

PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang membeli ayam segar yang dijual murah pada Karnival TMBS DUN Kuala Berang, Hulu Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Sebanyak 1,000 ekor ayam segar habis terjual dalam tempoh kurang dua jam sewaktu jualan murah sempena Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang, di sini, hari ini. 

Jualan ayam tersebut  berlangsung di tapak karnival di Dataran Pasar Tani Kuala Berang menawarkan harga RM10 bagi seekor ayam seberat antara 1.8 kilogram hingga dua kilogram kepada pengunjung. 

Urusetia aktiviti jualan murah, Mohd. Zainal Abidin Ahmad berkata, setiap pembeli hanya dibenarkan membeli dua ekor ayam sahaja bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengunjung dapatkan bahan mentah itu. 

Menurutnya, jualan murah ayam segar itu bertujuan mengurangkan bebanan rakyat dalam berdepan kos sara hidup hari yang semakin tinggi.

Menurutnya, sebahagian harga ayam yang dijual itu pula ditanggung oleh pihak penganjur karnival tersebut.

“Kita terpaksa mulakan lebih awal aktiviti jualan berikutan telah ramai pengunjung beratur tidak mahu lepaskan peluang bagi mendapatkan ayam segar yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Karnival TMBS DUN Kuala Berang berlangsung selama tiga hari bermula semalam  anjuran Kerajaan Negeri Terengganu dan Pejabat ADUN Kuala Berang dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan aksi motosikal oleh Gaban Salleh serta tukar minyak hitam percuma.

Sementara itu, seorang pengunjung, Norruhaya Zaini, 52, dari Kampung Kuala Kejir di sini, berkata, dia sanggup datang awal sejam berbanding waktu dijadualkan pada pukul 10.30 bagi memastikan tidak terlepas peluang. 

“Jualan ayam segar pada harga yang murah dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan rakyat terutamanya golongan B40. 

“Harga RM10 seekor dengan berat hampir dua kilogram bagi saya murah berbanding harga di pasaran. Minggu lepas saya beli di kedai kawasan kampung pada harga RM9.50 sekilogram,” katanya. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya