Warga emas cedera disondol babi hutan di kebun durian - Utusan Malaysia

Warga emas cedera disondol babi hutan di kebun durian

MOHAMAD Nizam Mohamad menunjukkan gambar datuknya yang cedera selepas disondol babi hutan semasa sedang mengutip buah durian di kebun berhampiran rumahnya di Taman Desa Wangi, Kampung Kubang Siput, Pasir Tumboh, Kelantan hari ini. -UTUSAN/ROHANA MOHD.NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang warga emas cedera parah selepas disondol seekor babi hutan sewaktu mengutip buah durian di kebun berhampiran rumahnya di Taman Desa Wangi, Kampung Kubang Siput, Pasir Tumboh, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi, mangsa Omar Ngah, 78, mengalami kecederaan di kepala, pendarahan di bahagian telinga dan kedua-dua belah tangan selepas bergelut selama lima minit dengan haiwan berkenaan.

Cucu mangsa, Mohamad Nizam Mohamad, 34, berkata, kejadian itu disedari selepas terdengar jeritan datuknya yang meminta pertolongan. 

Menurutnya, dia yang ketika itu sedang membakar sate terus bergegas ke kebun durian yang terletak kira-kira 150 meter dari dari rumah sejurus mendengar jeritan tersebut.

“Sejurus tiba di kebun, saya mendapati datuk berada di dalam parit sedalam 0.5 meter dengan keadaan berlumuran darah. Pada masa sama, saya mendapati babi hutan yang masih berada berhampiran dengan datuk.

“Secara tiba-tiba tiga ekor lagi babi hutan kelihatan berkeliaran di dalam dusun tersebut. Saya menunggu beberapa minit dan kesemua babi-babi hutan itu berlalu,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Pasir Tumboh di sini hari ini.

Mohamad Nizam memberitahu, selepas itu, dia kemudian memapah datuknya pulang ke rumah sebelum membawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, datuknya kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih di rawat di unit kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini.

Sementara itu, isteri mangsa, Zakaiah Deraman, 75, berkata, kejadian berlaku selepas dia dan suami pulang daripada bersarapan di sebuah kedai berhampiran kawasan rumah mereka.

Katanya, dia terus pulang ke rumah manakala mangsa memaklumkan mahu pergi melihat hasil durian di dusun milik rakannya.

“Kejadian seperti ini tidak pernah berlaku kepadanya. Saya terkejut apabila melihat suami berada dalam keadaan berlumuran darah.

“Sebelum ini, memang kami tahu babi hutan sebanyak 10 hingga 15 ekor berkeliaran di sini, namun tidak pernah menyerang manusia. Ia hanya pernah merosakkan tanaman penduduk,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya