Usul batal Subseksyen 4(5), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 lulus - Utusan Malaysia

Usul batal Subseksyen 4(5), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 lulus

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul membatalkan  keputusan Majlis Mesyuarat bertarikh 23 Mac 2022 berkenaan usul Subseksyen 4(5), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Ia adalah supaya Subseksyen 4(5) hendaklah terus berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun lagi mulai dari 31 Julai 2022.

Keputusan itu dibuat selepas undi berbelah bahagi diadakan dengan penglibatan 15 orang pembahas, di mana seramai 105 menyokong, sementara 83 ahli Parlimen lagi membantah.

Seramai 32 ahli Parlimen lain pula tidak hadir ke Dewan Rakyat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) [Akta 747] merupakan suatu akta yang digubal khusus untuk mengadakan peruntukan bagi langkah-langkah khas yang berhubungan dengan kesalahan keselamatan bagi maksud mengekalkan ketenteraman awam, keselamatan dan perkara-perkara yang berkait dengannya.

“Jika diteliti dengan lebih lanjut, senarai kesalahan di bawah, Jadual Pertama Sosma 2012 merupakan kesalahan jenayah yang amat serius, kompleks serta boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam yang memerlukan tempoh siasatan yang panjang.

“Sekiranya tempoh 28 hari ini tidak dilanjutkan, kementerian bimbang usaha untuk menangani kumpulan jenayah terancang dan ancaman kumpulan keganasan akan terjejas terutamanya kes-kes yang sedang disiasat pada bulan Julai ini. Saya percaya jika suspek-suspek ini dilepaskan, suspek ini boleh mengganggu rantaian bukti dan kesannya jenayah-jenayah keselamatan ini akan semakin berleluasa,” katanya.

Terdahulu, usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi gagal diluluskan.

Ini berikutan selepas undian belah bahagian dijalankan, hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen menentang.

Seramai 50 Ahli Parlimen pula tidak hadir. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya