UiTM wujudkan wad klinikal, sahut cabaran Agong

UiTM wujudkan wad klinikal, sahut cabaran Agong

HOSPITAL Al-Sultan Abdullah menjadi hospital pertama mewujudkan Wad Klinikal Fasa Satu sebagai makmal kemudahan ujian ubat-ubatan dan vaksin baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Tek­nologi Mara (UiTM) melalui pusat perubatannya, Hospital Al-Sultan Abdullah mewujudkan Wad Klinikal Fasa Satu sebagai kemudahan ujian ubat-ubatan dan vaksin baharu yang dihasilkannya menjelang hujung tahun ini.

Kewujudan kemudahan itu menjadikan Hospital Al-Sultan Abdullah sebagai hospital universiti pertama dengan makmal tersebut dan yang kedua dalam negara selepas sebuah fasiliti milik Kementerian Kesihatan (KKM) di Sarawak.

Pengarahnya, Profesor Dr. Sazzli Shahlan Kasim berkata, usaha tersebut sejajar dengan hasrat dan cabaran yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya UiTM menghasilkan kaedah perubatan dan vaksin tersendiri.

GALAS HASRAT

“Untuk menggalas hasrat Seri Paduka, Hospital Al-Sultan Abdullah akan mewujudkan Wad Ujian Klinikal Fasa Satu di Pusat Pakar Perubatan UiTM di Sungai Buloh untuk menguji ubatan-ubatan baharu.

“Kemudahan itu nanti bo­leh digunakan oleh sesiapa, maknanya siapa hendak uji ubat yang dihasilkan boleh dibuat di Wad Ujian Klinikal Fasa Satu UiTM,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia.

Beliau menambah, sejajar de­ngan hasrat tersebut juga, Hospital Al-Sultan Abdullah akan berperanan sebagai pusat kepada koridor segitiga perubatan yang merangkumi kawasan Puncak Alam, Kuala Sela­ngor dan Sungai Buloh.

Kata Dr. Sazzli Shahlan, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba bagi melaksanakan Pelan Bandar Perubatan yang merangkumi pelancongan perubatan, perkhidmatan penjagaan kesihatan, persaraan dan penjagaan kejururawatan serta industri biofarmaseutikal.

“Industri biofarmaseutikal adalah penting untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap bekalan ubat-ubatan dari luar,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan UiTM turut memainkan peranan dalam inovasi teknologi perubatan de­ngan memperkenalkan sistem penyimpanan data pesakit secara digital yang menjimatkan perbe­lanjaan kerajaan sebanyak RM70 juta.

“Perisian tersebut digunakan dan ditingkatkan kualitinya, kita menghala ke arah hospital tanpa kertas dan perkhidmatan itu sudah boleh digunakan di hospital lain. Data pesakit di­simpan secara digital.

“Kedua, Hospital Al-Sultan Abdullah juga menghasilkan pasport pesakit yang mana pesakit boleh daftar masuk dan keluar secara dalam talian untuk rawatan pesakit harian dan membuat bayaran dengan kaedah sama. Malah ubat juga akan dikirim terus ke rumah pesakit tanpa perlu mengambilnya di kaunter farmasi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN