PUTRAJAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan sisa elektronik iaitu televisyen merupakan sisa paling berat yang dibuang oleh rakyat pada tahun lalu.
Agensi itu merekodkan, jumlah berat produk tersebut yang dilupuskan oleh pengguna negara ini mencecah 1,052 tan metrik atau 43 peratus daripada keseluruhan 2,459 tan metrik sisa sepanjang tahun lalu.
“Sasaran berat keseluruhan e-waste pada 2021 lalu adalah 800 tan. Tahniah anda semua atas kerjasama dan kesedaran kita dapat mencapai melebihi ‘target’ ditetapkan,” kata hantaran JAS dalam media sosial.
Pelupusan televisyen lama itu kemungkinan menggambarkan trend peralihan minat kepada set baharu lebih ‘pintar’ atau disebabkan kerosakan akibat bencana banjir buruk pada tahun lepas.
JAS melalui infografik dipaparkan itu juga menunjukkan sisa elektronik kedua paling berat dikumpul ialah komputer riba iaitu 912 tan atau 37 peratus meskipun paling banyak dari segi kuantiti.
Ini diikuti peti sejuk dengan berat 273 tan atau 11 peratus, mesin basuh pula 137 tan (lima peratus), pendingin hawa 71 tan (tiga peratus) dan paling ringan telefon bimbit 14 tan (satu peratus).
Bagi memastikan rakyat tidak membuang produk tersebut di tempat tidak sepatutnya, Kementerian Alam Sekitar dan Air memperkenalkan hari pengumpulan e-waste sejak Januari 2021.
Inisiatif dilakukan pada Sabtu minggu terakhir setiap bulan itu memberikan pendedahan serta galakan kepada masyarakat mengenai pelupusan e-waste dengan cara yang lebih selamat.
Mengulas lanjut, JAS berkata bahawa tidak ramai rakyat negara ini memiliki kesedaran kepentingan pembuangan e-waste di lokasi yang betul akan memberi kesan kepada alam sekitar.
“Justeru, pastikan anda melupuskan secara mesra alam dengan dihantar ke pusat berdaftar sekiranya barangan elektrik di rumah atau tempat kerja didapati telah pun rosak,” jelasnya.
Berdasarkan data pada sepanjang 2020, agensi itu telah berjaya mengumpul 1,119,155 tan e-waste dengan paling banyak ialah set televisyen dan komputer peribadi iaitu 832,692 tan.
Sisa ini dikategorikan JAS sebagai buangan terjadual dengan kod SW110 menurut Jadual Pertama, Peraturan Kualiti Alam Sekeliling 2005 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Ia perlu dilupus teratur kerana mengandungi komponen bahan kimia toksik seperti kadmium, raksa, plumbum, nikel, kromium, kuprum, litium, perak, mangan dan bifenil yang terpoliklorin.
Agensi itu menjangkakan sebanyak 24.5 juta unit e-waste bakal dihasilkan di seluruh Malaysia menjelang 2025 dan haruslah dilupuskan dengan betul demi kelestarian kualiti alam sekitar.
Pengguna boleh melayari laman sesawang https://ewaste.doe.gov.my atau pun muat turun aplikasi MyWaste untuk mengetahui senarai lokasi pusat pengumpulan yang terletak berhampiran. –UTUSAN ONLINE










