KOTA BHARU: Kedudukan Pas di Kelantan dijangka tidak tergugat meskipun parti itu menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, veteran Pas, Abdul Fatah Haron berkata, isu pertukaran simbol atau logo kepada PN dijangka tidak berbangkit kerana parti itu sudah mempunyai banyak pengalaman berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, hal ini kerana Pas Kelantan pernah bertanding menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada 1974 dan tidak berdepan sebarang masalah ketika PRU.
“Pas Kelantan pernah guna logo dacing ketika bersama BN suatu ketika dahulu dan semua calon Pas serta UMNO menang.
“Pengundi Pas di Kelantan ini merupakan pengundi yang matang. Tidak kira sama ada mereka golongan muda atau tua, mereka semua cerdik,” katanya di sini baru-baru ini.
Yang Dipertua Pas Rantau Panjang itu memberitahu, pihaknya optimis sokongan pengundi tidak akan beralih kepada pihak lain pada PRU15 nanti.
Pada 13 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Pas tidak mempunyai masalah untuk menukar simbol bulan yang sudah sinonim dengan rakyat di Kelantan kepada PN pada PRU15 nanti.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau percaya penyokong serta pendukung parti itu pasti akan memahami serta patuh dengan keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi nanti. – UTUSAN










