Tubuh UiTM bukan kerana demonstrasi jalanan - Utusan Malaysia

Tubuh UiTM bukan kerana demonstrasi jalanan

ROZIAH Mohd. Janor mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik kepada pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 di pekarangan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin di UiTM Shah Alam, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penubuhan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bermula dengan perbincangan golongan profesional sejak 1955 lagi, bukannya berasal daripada demonstrasi jalanan pada 22 April 1974.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor menjelaskan, universiti itu ditubuhkan menerusi rundingan meja bulat Kongres Ekonomi Bumiputera 67 tahun lalu yang membincangkan hala tuju ekonomi orang Melayu dan bumiputera sebelum merumuskan pendidikan sebagai penyelesaian utama.

Malah katanya, insiden demonstrasi berkenaan yang disertai oleh pemimpin parti politik sekarang hanya berlaku selepas tujuh tahun Kolej Rida dinaiktaraf menjadi ITM pada 1967.

“Sekarang kalau hendak bentang belanjawan contohnya kita perlukan input daripada rakyat dan profesional, macam itulah juga penubuhan UiTM.

“Penubuhan UiTM ini dahulu sudah ada orang yang memikirkan keperluan itu, ada analisis yang dibuat. Pemikirannya ketika itu sudah sangat jauh ke depan,” katanya ketika ditemui selepas menerima ketibaan Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022, di pekarangan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, semalam.

Beliau menambah, usaha meletakkan UiTM di peta dunia sudah pun dilakukan oleh pemimpin terdahulu yang memikirkan keperluan dan menganalisis perjalanan pendidikan tinggi bagi orang Melayu dan bumiputera.

Terdahulu, Angkatan Mahasiswa menerusi kenyataan Ahli Exco Politik dan Keilmuannya mendakwa UiTM ditubuhkan atas demonstrasi 48 tahun lalu serta desakan mahasiswa pada 1999 iaitu ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Roziah memaklumkan dua mahasiswa kampus UiTM Negeri Sembilan dan Fakulti Undang-Undang di sini yang terlibat dengan demonstrasi bantah kenaikan harga di ibu negara baru-baru ini masih boleh menduduki peperiksaan akhir semester.

Bagaimanapun, majhasiswa berkenaan masih tidak terlepas daripada dikenakan tindakan berdasarkan Tatatertib Pelajar kerana melibatkan diri dalam aktiviti sedemikian.

“Tindakan tersebut adalah peringkat dalaman. Kita bimbang penglibatannya dengan aktiviti sedemikian mengganggu prestasi akademiknya. Cuma, apa yang polis buat, mengambil tindakan terhadap mereka dan sebagainya itu di luar bidang kuasa kami.

“Saya bukan kata benarkan mereka buat perkara tersebut, tetapi untuk satu perkara yang kita boleh tangguhkan dari segi tindakan itu, kita tak mahu perjalanan akademiknya terganggu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN