Tiada petunjuk baharu kes Zalina Azman

Tiada petunjuk baharu kes Zalina Azman

Zalina
ZALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada sebarang petunjuk ditemukan meskipun sudah beberapa kali pihak polis melakukan pemeriksaan di kawasan rumah bekas pembaca berita TV3, Zalina Azman di Seksyen 3, Shah Alam.

Memberitahu Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Sela­ngor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, pemeriksaan oleh pa­sukan forensik itu dilakukan sejak laporan kehilangan perso­naliti berkenaan dibuat anak­nya pada November lalu.

Malah, kata beliau, tiada maklumat diperoleh polis daripada orang terdekat seperti kawan-kawan mahupun keluarganya mengenai keberadaan personaliti itu.

“Kita masih mencari sekiranya ada apa-apa petunjuk baharu. Orang terdekat dengan dia seperti kawan-kawan mahupun keluarga pun tidak tampil maklum bila kali terakhir mereka bertemu dengan Zalina,” kata­nya di sini semalam.

MENYELURUH

Sasikala Devi berkata, pihaknya melihat kes itu secara menyeluruh termasuk kemungkinan personaliti itu berada di negeri lain tetapi tiada petunjuk diperoleh.

“Kalau dia berada di negeri lain, sudah pasti dia perlukan kad pengenalan diri dan wang untuk tinggal di hotel atau sebagainya.

“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, barangan periba­dinya seperti kad pengenalan diri dan wang tunai semuanya ditinggalkan di rumah,” jelas­nya.

Katanya, semakan ke atas bank milik Zalina juga mendapati tiada sebarang transaksi dilakukan beliau.

“Malah, telefon bimbitnya juga telah lama tidak aktif,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya sedang mengesan pekerja kontraktor yang melakukan pengubahsuaian rumah Zalina sekitar 2018 hingga 2019.

Selain itu, katanya, pihak­nya sudah memanggil enam ahli keluarga Zalina termasuk anak dan bekas suami untuk membantu siasatan.

Anak tunggal personaliti itu, Mikhael Norman, bagaimanapun gagal menghubungi ibunya pada November lalu untuk memaklumkan tentang datuknya yang dimasukkan ke hospital.

Utusan Malaysia juga sebelum ini melaporkan bekas personaliti TV3 berkenaan dipercayai masih berada di dalam negara selepas semakan de­ngan Jabatan Imigresen mendapati tiada pergerakan ke luar negara oleh Zalina.

Isnin lalu, berita kehilangan personaliti berkenaan dikongsikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Dalam laporan berkenaan, Zalina digambarkan berkulit hitam manis, bertubuh kecil dan beralamat akhir di Seksyen 3, Shah Alam, Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN