PETALING JAYA: Tiada sebarang perjanjian dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melantik Timbalan Perdana Menteri sebelum beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menjelaskan, jika benar perjanjian itu wujud, mengapa ia baru dibangkitkan oleh sesetengah pihak ketika ini.
Malah, katanya, pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak pernah dibincangkan dengan mana-mana pihak, termasuk Pas dalam Perikatan Nasional (PN).
“Tiada perjanjian setahu saya. Kalau ada perjanjian kenapa sekarang baru kita dengar dakwaannya? Kalau ada..kenapa ada menteri-menteri kanan?
“Tak pernah diumumkan, tak pernah dibincangkan. Pas pun dalam PN. Tak pernah pun sebut apa-apa berhubung hal ini. Jadi saya anggap ni cerita rekaan semata-mata oleh pihak terdesak,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Dalam masa yang sama, katanya, Ismail Sabri tidak akan tunduk terhadap desakan mana-mana pihak mengenai apa jua perkara.
“Perdana Menteri adalah dari UMNO dan Barisan Nasional (BN). Dia akan dengar pendirian BN, bukan cakap atau desakan PN.
“Tambahan lagi, sekarang dalam keadaan cabaran ekonomi dan di hujung-hujung penggal ini bukan masa untuk sibuk tentang jawatan baru sedangkan Kabinet sudah ada. Patut Kabinet dan
Majlis Pemulihan Negara (MPN) bantu Perdana Menteri, bukan desak-desak jawatan,” katanya.
Beliau mengulas dakwaan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah perjanjian yang dibuat antara PN dengan Ismail Sabri sebelum beliau dilantik menjadi Perdana Menteri. – UTUSAN









