Tiada pekeliling tentang cara pinjam ubat - Utusan Malaysia

Tiada pekeliling tentang cara pinjam ubat

Seorang pekerja menyusun stok ubat paracetamol yang kini didakwa berkurangan di pasaran. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tiada pekeliling dan surat daripada Kementerian Kesihatan berhubung kebenaran meminjam ubat-ubatan daripada fasiliti kesihatan swasta atau kerajaan bagi klinik yang berdepan masalah kekurangan bekalan itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Premier Malaysia (MPCAM), Dr. Raj Kumar Maharajah berkata, persatuan itu tidak pernah menerima sebarang pekeling rasmi berhubung kenyataan dibuat Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 13 Jun lalu.

Sehubungan itu, katanya, ia hanya kenyataan melalui media yang tidak memberi apa-apa makna kerana surat rasmi berhubung perkara berkenaan tidak dikeluarkan Kementerian Kesihatan mahupun Jabatan Kesihatan negeri.

“Selain pekeliling, Kementerian Kesihatan juga perlu menyatakan prosedur pinjaman, ini penting sebab kita hendak pinjam ubat-ubatan.

“Cara dan bagaimanapun untuk pinjam pun kita tidak tahu. Apakah kita terus ke fasiliti kesihatan kerajaan dan kata mahu pinjam ubat?

“Berapa banyak kita boleh pinjam? Ubat jenis apa? Apa syarat-syaratnya? Semua ini seharusnya dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan tetapi sehingga kita langsung tidak tahu apa-apa,” katanya di sini semalam.

Pada 13 Jun lalu, Khairy dilaporkan berkata, fasiliti kesihatan swasta boleh memohon pinjaman bekalan ubat-ubatan dari fasiliti kesihatan swasta lain atau fasiliti kesihatan kerajaan terdekat.

Menurut Menteri Kesihatan tersebut, fasiliti kesihatan kerajaan boleh mempertimbang meminjam bekalan ubat-ubatan untuk kegunaan ketika kecemasan, krisis dan bencana.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 11,000 klinik swasta dan farmasi komuniti berisiko menutup operasi perniagaan jika masalah kekurangan bekalan ubat-ubatan asas sejak awal tahun ini yang semakin meruncing terus berlarutan tanpa ada penyelesaian.

Kekurangan ubat seperti paracetamol, batuk dan selesema sehingga 30 peratus merencatkan operasi dan sehingga kini tidak nampak masalah itu diambil peduli walaupun disuarakan sejak sebulan lalu.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Boi Saidi Abd. Razak berkata, pihaknya buat masa ini tidak pasti mahu merujuk kepada siapa jika mahu meminjam bekalan ubat-ubatan.

“Hendak rujuk siapa pun kami tidak tahu. Untuk melaksanakannya, perlu ada pekeliling yang memaklumkan cara untuk mohon pinjaman ubat tersebut.

“Sejak kenyataan itu dibuat 13 Jun lalu, kami tidak terima apa-apa surat atau pekeliling. Ubat semakin kurang dan mendesak ketika ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN