Tiadacadangan bawa balik rakyat Malaysia

Tiada cadangan bawa balik rakyat Malaysia di Sri Lanka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak bercadang untuk membawa rakyat Malaysia keluar daripada Sri Lanka pada masa ini susulan pengisytiharan darurat di negara ber­kenaan.

Dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia, Kementerian Luar memaklumkan, penerbangan komersial secara terus dari Sri Lanka ke Malaysia masih lagi beroperasi seperti biasa dan sempadan negara itu masih lagi dibuka.

Walau bagaimanapun, menurut kementerian itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia telah menasihatkan rakyat Malaysia di sana supaya merancang perjalanan mereka untuk pulang ke tanah air.

“Setakat hari ini, terdapat seramai 114 orang rakyat Malaysia di Sri Lanka yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Colombo, termasuk dua orang pelancong.

“Sebahagian besar daripada mereka bekerja di sana atau telah mendirikan rumah tangga dengan rakyat tempatan. Terdapat sebilangan daripada mereka juga telah meninggalkan Sri Lanka untuk kembali ke Malaysia,” katanya menerusi ­e-mel, di sini semalam.

Sri Lanka yang dilanda krisis mengisytiharkan darurat di seluruh negara, beberapa jam selepas Presiden Gotabaya Rajapaksa melarikan diri ke luar negara.

Rakyat Malaysia di sana dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa.

“(Ini termasuk) tidak menyertai sebarang protes atau rusuhan serta mengelakkan diri daripada lokasi-lokasi yang terbabit dengan rusuhan. Kita akan sentiasa berhubung rapat dengan rakyat Malaysia yang berdaftar,” katanya.

Rakyat Malaysia yang masih belum mendaftarkan diri dengan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia adalah dinasihatkan untuk segera berbuat demikian.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Colombo yang bertempat di alamat 45, Rosmead Place, Colombo 07, Sri Lanka boleh dihubungi menerusi panggilan telefon +9477 4830 103 dan e-mel: [email protected]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN