Teruja ibadah korban kembali meriah - Utusan Malaysia

Teruja ibadah korban kembali meriah

PENDUDUK bergotong-royong melapah daging korban di Masjid Al-Aminin, Batang Tiga, Klebang, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penduduk menyifatkan ibadah korban di Masjid Al-Aminin Batang Tiga, Klebang di sini tahun ini lebih meriah berbanding sebelumnya selepas negara memasuki fasa peralihan endemik dengan kelonggaran beberapa prosedur operasi standard (SOP).

Mereka berasakan Hari Raya Aidiladha kali ini jauh berbeza berbanding dua tahun sebelum ini berikutan penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batang Tiga Timur, Mustafa Mohamed Baboo berkata, suasana di pekarangan masjid kembali meriah dengan penglibatan penduduk bergotong-royong melapah sepuluh lembu korban.

Menurutnya, tidak hanya kaum lelaki dan wanita hadir membantu, sebaliknya golongan remaja juga tidak melepaskan peluang turut sama membantu untuk diagih-agihkan kepada penduduk setempat.

“Seramai lebih 100 orang termasuk anggota polis dari Balai Polis Batang Tiga turut sama bergotong-royong melapah daging korban.

“Alhamdulillah, ibadah kali ini amat bermakna kepada seluruh kariah di sini selepas hampir dua tahun suasana seperti hari ini tidak dapat dirasakan. Ramai datang bergotong-royong bagi memeriahkan ibadah tahun ini,” katanya ketika ditemui pada program korban berkelompok di sini hari ini.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Abu Chek Baba, 57, berkata, dia teruja melihat orang ramai bekerjasama melapah daging korban dan suasana itu sudah lama tidak dirasakannya.

“Seronok rasanya dapat membantu melapah daging bersama-sama kariah lain dan suasana sungguh mengagumkan, tidak seperti dua tahun lalu,” katanya yang tinggal di Bukit Rambai di sini. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN