PETALING JAYA: Tempahan haiwan ternakan untuk ibadah korban di seluruh negara turun 30 peratus dipercayai ada kaitan dengan situasi orang ramai yang terpaksa bergelut dengan kenaikan harga bahan makanan dan hampir semua barangan keperluan harian sejak kebelakangan ini.
Malah, penurunan itu dilihat lebih buruk berbanding semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Koperasi Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (GTR), Nordin Mat berkata, penurunan ketara itu bukan hanya melibatkan ibadah korban dalam negara, malah aktiviti sama di luar negara turut merosot.
Katanya, harga pasaran bagi seekor lembu korban kini ialah antara RM4,800 hingga RM6,000 seekor manakala kambing pula antara RM1,000 hingga RM1,500 seekor.
Menurutnya, tahun lalu, seekor lembu korban berharga antara RM4,500 hingga RM5,500 sahaja manakala kambing pula RM850 ke atas bagi seekor.
LUAR NEGARA
“Rata-rata penternak memaklumkan permintaan kali ini perlahan dan pada mulanya kita menganggap ia disebabkan harga ternakan korban dalam negeri yang mahal, namun sangkaan itu meleset kerana korban di luar negara turut berdepan nasib sama, walaupun jauh lebih murah.
“Sebelum ini penternak berdepan cabaran PKP, kini sekali lagi kita terpaksa bergelut dengan ekonomi yang tidak stabil di samping kenaikan kadar dasar semalaman (OPR), kos makanan ternakan dan lain-lain lagi,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, seorang penternak, Mohd. Salamon Mansot, 58, dari Bandar Seri Putra, Bangi mengambil inisiatif memasarkan lembu rakan-rakan lain bagi melariskan ternakan korban yang masih belum terjual.
Katanya, sehingga kini hampir 180 lembu milik lima penternak dari kawasan sekitar termasuk Banting, Hulu Langat dan Beranang di Selangor diikuti Kuala Pilah dan Linggi di Negeri Sembilan sudah dipasarkan.
“Ramai kawan-kawan mengadu jualan mereka perlahan, jadi sejak sebulan lalu saya tolong mereka memasarkan lembu-lembu yang ada sehingga dapat pembeli.
“Ada satu tempat kita bantu jualkan sehingga 90 ekor lembu diikuti lain-lain antara 30 ekor,” katanya.
Seorang lagi penternak dari Kota Tinggi, Johor, Kamaruzzaman Abdul Jalil, 39, berkata, permintaan kali ini merosot berbanding sebelum Covid-19 melanda.
Katanya, selain permintaan berkurangan, kumpulan penternak juga makin sedikit gara-gara pelbagai faktor termasuk meninggal dunia di samping tidak mampu lagi meneruskan operasi perniagaan gara-gara faktor kewangan.
“Sebelum Covid-19, saya boleh menjual sehingga 2,000 ekor lembu pada Hari Raya Aidiladha tetapi kini hanya separuh daripadanya sahaja,” katanya. – UTUSAN









