LIPIS: Tangga 100 cukup sinonim dengan penduduk daerah ini khususnya kalangan warga emas kerana artifak peninggalan British pada abad ke-19 itu menjadi kemudahan bagi pejalan kaki untuk berurusan di Kompleks Pentadbiran Daerah Lipis yang terletak di atas dataran yang tinggi.
Tangga tersebut dibina pada 1919 oleh pentadbir dan jurutera British ketika mereka membangunkan Kompleks Pentadbiran Daerah Lipis untuk kemudahan laluan bagi penduduk berurusan pembayaran hasil seperti cukai tanah, cukai mineral, pelesenan dan hal perdagangan dalam era itu.
Jurutera British membina anak tangga 100 dengan batu konkrit yang sangat kukuh sehingga kini cuma warna lapisan permukaannya tercemar akibat cuaca dan kemudahan itu tidak digunakan lagi sejak Pejabat Daerah dan Tanah Lipis berpindah ke bangunan baharu.
Kompleks Pentadbiran Daerah Lipis antara premis utama dibina British di Pahang apabila Kuala Lipis menjadi ibu negeri pada 1898 sebelum berpindah ke Kuantan pada 27 Ogos 1955 yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan negeri pada masa ini.
Menurut sejarah dan buah mulut orang-orang tua, Tangga 100 itu juga pernah digunakan oleh Sir Hugh Clifford yang pernah menjadi pentadbir di Pahang ketika beliau ke pejabat yang terletak di kompleks pentadbiran tersebut dan juga Tun Abdul Razak Husein yang bertugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang di Lipis (1952-1955), beliau sekali sekala pernah ‘menapak’ di anak tangga itu ketika tidak menggunakan keretanya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Kuala Lipis yang juga aktivis sejarah, Datuk Abu Jimi Samat, 54, berkata, Tangga 100 diberi nama oleh orang-orang tua kerana binaan tangganya cuma 100 tingkat.
“Penduduk di sini yang tidak menggunakan kereta ketika hendak berurusan di Kompleks Pentadbiran Daerah ini perlulah meniti 100 langkah untuk tiba di bangunan tersebut yang terletak di tempat tinggi.
“Ketika era British dan pasca merdeka, penduduk yang tinggal jauh dari bandar Kuala Lipis perlu menaiki kereta api dan apabila tiba di bandar ini mereka terpaksa berjalan kaki dan menapak Tangga 100 untuk berurusan di pejabat ini lagipun cuma orang kenamaan dan kaya sahaja memiliki kenderaan di laluan untuk ke bangunan ini,” katanya di sini.
Abi Jimi berkata, Tangga 100 sehingga kini masih kukuh walaupun tidak digunakan lagi dan kerap kali menjadi tempat latihan pemain bola sepak di padang berdekatan untuk memanaskan badan dan meningkatkan tenaga dengan berlari turun naik anak tangga itu.
“Saya masih menyimpan nostalgia 50 tahun lalu apabila arwah bapa saya, Samat Abdullah seorang anggota polis di bandar ini pernah membawa saya membonceng motosikal klasiknya menaiki Tangga 100 kerana kami tidak mampu menapak ke atas.
“Bagi golongan usia emas dan yang mengalami komplikasi penyakit, mereka hanya mampu menapak perlahan-lahan sehingga tiba ke pejabat kerajaan dan begitulah ketika menuruninya kerana kedudukannya agak tinggi,” katanya.
Beliau berkata, kini Tangga 100 terbiar langsung tidak diuruskan keceriaannya sejak beberapa tahun lalu apabila pejabat pentadbiran daerah dan tanah Lipis berpindah ke bangunan baharu.
Jelasnya, bagi beliau serta kalangan orang-orang tua yang masih hidup, Tangga 100 cukup unik dan meninggalkan banyak kenangan berbanding generasi baharu hari ini yang tidak mengambil endah hal sejarah sebaliknya menganggap kesan sejarah British di bandar itu hanya merupakan kejadian biasa. –UTUSAN ONLINE









