Tambakan tapak pelupusan ubah dusun jadi kolam - Utusan Malaysia

Tambakan tapak pelupusan ubah dusun jadi kolam

TEE Seng Hoo mengadakan sidang akhbar selepas demonstrasi berkaitan pencemaran di Sungai Batu, Kampung Paya Rumput Jaya, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pencemaran di Sungai Batu, Kampung Paya Rumput Jaya dekat sini bukan sahaja mengakibatkan sumber air berbau busuk, malah, tambakan di Tapak Pelupusan Sampah Sungai Udang juga menjadikan dusun seorang pekebun yang berkeluasan 10 ekar, kini menjadi sebuah kolam besar.

Pekebun, Tee Seng Hoo, 76, berkata, ia disyaki berpunca daripada tambakan dengan ketinggian melepasi 70 kaki dilakukan syarikat pengurusan tapak, sehingga mengakibatkan dusun tanaman durian, manggis, pisang, cempedak dan rambutan diusahakannya menjadi lembah.

“Air hujan dari tapak sampah itu akan mengalir ke kawasan dusun menyebabkan semua pokok-pokok ditenggelami air, malah lebih 20 pokok durian saya juga mati.

“Ada juga peguam yang tampil mahu membantu kerana menganggarkan kerugian saya untuk tempoh 30 tahun akan datang boleh mencecah RM1 juta, tapi, saya tidak mampu membayar kos guaman,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi berkenaan.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan keadaan Sungai Batu yang busuk, hitam dan menjijikkan akibat pencemaran.

Penduduk mendakwa masalah itu sudah berlarutan hampir enam tahun, berpunca dari Tapak Pelupusan Sampah Sungai Udang yang beroperasi berhampiran lokasi berkenaan.

Pencemaran itu juga didakwa menjejaskan pendapatan kira-kira 50 pekebun kecil yang bergantung kepada sumber air dari sungai tersebut untuk tanaman mereka dan kerugian ditanggung dikatakan mencecah RM200,000 setiap bulan.

Dalam pada itu, seorang lagi pekebun, Rozita Wagiman, 42, berkata, hasil tanaman kacang panjangnya terus merosot akibat penggunaan sumber yang tercemar.

“Sebelum ini, saya mampu memperoleh antara RM4,000 ke RM5,000 bagi setiap tuaian, tetapi kini hanya memperoleh kira-kira RM3,000, berikutan banyak pokok kacang mati atau terbantut,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN