BALING: Kegembiraan seorang suami mengambil cuti untuk membawa isterinya menjalani pemeriksaan kandungan cahaya mata sulung mereka bertukar kesedihan apabila isterinya itu terbunuh dalam tragedi banjir di Kampung Iboi, Kupang di sini.
Mohd. Khairul Asraf Nor Azman, 24, juga tidak sempat menunaikan permintaan isterinya, Nurul Anis Abu Hassan untuk menikmati piza apabila hanya sekujur tubuh tidak bernyawa menanti kepulangannya.
Dia yang bekerja di Pulau Pinang berkata, isterinya kini hamil empat bulan setelah mereka mendirikan rumah tangga pada Februari lalu.
“Ketika kejadian, saya berada di Pulau Pinang dan hari ini memang saya ambil cuti untuk pulang ke kampung bagi membawanya ke klinik. Saya hanya sempat menghubunginya petang semalam.
“Bagaimanapun, saya reda dengan ketentuan Ilahi yang bukan sahaja kehilangan isteri tetapi kejadian itu turut mengorbankan ibu dan adik kandung saya,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai.
Kata Mohd. Khairul, arwah isterinya tinggal bersama ibu, Salmah Mat Akib di Kampung Iboi setelah meminta kebenaran untuk menjaga wanita itu yang lumpuh.
Dia tidak menyangka, permintaan isterinya itu menandakan Nurul Anis akan pergi buat selama-lamanya apabila ditemui meninggal dunia kerana dihanyutkan arus deras tragedi itu.
Mayat Nurul Anis dan Salmah ditemukan berpelukan oleh anggota bomba di bawah timbunan batang pokok berhampiran Sungai Iboi iaitu kira-kira 100 meter dari tapak rumah mereka.
Kedua-dua mayat ditemui selepas anggota bomba ternampak kaki salah seorang mangsa di bawah timbunan pokok berkenaan.
Selang beberapa jam kemudian, mayat adik kepada Mohd. Khairul iaitu Khairul Ikhwan, 14, ditemukan pula tidak jauh daripada mayat ibu dan kakak iparnya. – UTUSAN










