IPOH: Suspek bagi kes pembunuhan suami isteri di sebuah rumah di Taman Bercham Aman, Bercham di sini semalam, disifatkan sebagai seorang yang pendiam dan kurang bergaul dengan jiran tetangga.
Menurut jiran suspek yang enggan dikenali, lelaki berusia 61 tahun itu juga jarang dilihat keluar rumah terutama sejak isterinya meninggal dunia beberapa tahun lalu.
Katanya, lelaki terbabit tinggal di rumah tersebut bersama ibunya yang uzur dan berkerusi roda selain dua orang iaitu abang dan kakak ipar.
“Saya pernah nampak dia (suspek) tapi tidak pernah bertegur sapa kerana takut. Muka dia pun jarang senyum, sebab itu saya tidak berani.
“Dia pun memang jarang keluar rumah, hanya isteri abangnya (mangsa) yang kalau jumpa akan tegur saya. Suami isteri itu pun baru sahaja pindah ke sini, sebelum ini, mereka tinggal di Kedah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut wanita berusia 72 tahun itu, dia hanya mengetahui insiden pembunuhan berkenaan selepas dimaklumkan oleh anggota polis yang datang ke rumahnya.
“Semalam, (polis) tanya sama ada saya ada dengar mereka (suspek dan mangsa) bergaduh. Saya tidak tahu pun tentang itu sebab memang jarang lihat mereka.
“Polis juga ada tunjuk telefon bimbit yang telah rosak yang dijumpai di tepi rumah dan tanya sama ada milik saya atau tidak, saya tidak tahu siapa yang punya,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi jiran suspek berkata, penduduk di taman perumahan itu terkejut melihat banyak kereta polis di lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan.
“Memang kami terkejut tengok ramai polis, saya sendiri nampak ada darah di pekarangan rumah suspek. Tidak sangka betul, lelaki yang dilihat pendiam itu sanggup membunuh abang dan kakak iparnya,” katanya yang berusia 51 tahun.
Menerusi laporan media semalam, mayat suami isteri berusia 64 dan 59 tahun itu dijumpai dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kecederaan parah di kepala di ruang tamu rumah.
Mayat kedua-dua mangsa itu dijumpai oleh abang kepada mangsa lelaki pada pukul 8.50 pagi. –UTUSAN ONLINE









