Suami tidak wajib mencarum untuk isteri -Perkeso - Utusan Malaysia

Suami tidak wajib mencarum untuk isteri -Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menegaskan cadangan pelaksanaan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) adalah secara sukarela dan para suami tidak wajib mencarum untuk isteri masing-masing. 

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Komunikasi Korporatnya, Izad Raya berkata, laporan berita yang diterbitkan oleh beberapa media tempatan termasuk menerusi platform dalam talian mengenai kegagalan suami membayar caruman Perkeso isteri yang juga suri rumah boleh dikenakan denda atau hukuman penjara adalah tidak tepat. 

“Memandangkan laporan berita tersebut tidak tepat dan boleh mengelirukan orang ramai, Perkeso ingin menggesa media-media yang berkenaan untuk mengambil tindakan segera dengan menyiarkan ralat berhubung laporan yang telah diterbitkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, menerusi draf Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 yang telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan di Dewan Rakyat, ia menyatakan bahawa suami hanya wajib membayar caruman untuk isterinya jika memilih untuk berbuat demikian dan perlu memaklumkan kepada Perkeso. 

Dalam situasi ini, ia boleh menjadi suatu kesalahan kepada suami jika gagal membayar caruman berkenaan. 

Sabit kesalahan, suami boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. 

Bagaimanapun, kata Izad, jika pasangan tersebut telah bercerai atau suami terbabit tidak mampu membayar caruman isterinya akibat hilang punca pendapatan atau seumpamanya, maka, komitmen beliau untuk membayar caruman adalah terbatal. 

“Dalam hal ini, isteri atau suri rumah boleh membayar caruman SKSSR secara sukarela atau bayaran caruman tersebut juga boleh dibuat oleh mana-mana pihak ketiga,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN