Suami isteri terlibat kemalangan kini hilang punca pendapatan - Utusan Malaysia

Suami isteri terlibat kemalangan kini hilang punca pendapatan

KEADAAN Sihabur dan isterinya, Nor Asma bersama ibu mentuanya, Norinsam serta anak-anaknya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumah mereka di Kampung Jijan, Nilai, semalam.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sepasang suami isteri di Kampung Jijan, Nilai dekat sini hilang punca pendapatan untuk menyara keluarga selepas pasangan itu terbabit dalam kemalangan berasingan  baru-baru ini.

Sihabur Rahman, 51, dan isteri, Nur Asma Ismail, 39, mengalami patah tangan dan bahu yang menyebabkan  mereka tidak dapat bekerja.

Sihabur yang bekerja sebagai pemotong rumput terbabit dalam kemalangan pada 24 Jun lalu selepas motosikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah kereta di bulatan Kota Seriemas, Nilai

Nur Asma, wanita orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu pula terlibat dalam kemalangan pada 13 April lalu selepas dilanggar  sebuah kereta ketika menghantar anaknya menaiki van sekolah. 

Disebabkan kejadian menimpa mereka, kini ketiga-ketiga anak pasangan itu yang berusia satu  hingga sembilan tahun dijaga oleh ibu Nur Asma iaitu Norinsam Abdurahman, 66, yang juga tidak berapa sihat kerana menghidap angin ahmar. 

Sihabur memberitahu, sebelum ini, dia mampu memperoleh pendapatan RM1,500 sehingga RM2,000 sebulan, tetapi kini terpaksa bergantung kepada bantuan.

“Akibat kemalangan ini, saya dan isteri tidak boleh menguruskan anak kami dan dua daripada mereka  juga sudah tidak bersekolah selama sebulan. Mereka berdua juga kadang kala terpaksa menguruskan adik yang berusia setahun.

“Ibu mentua saya sudah uzur kerana keadaan penyakitnya itu dan tidak mampu menjaga anak-anak kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, dia berterima kasih kepada bantuan penduduk, masjid Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan pihak Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Jijan.

“Pihak PIBG juga akan membantu menghantar anak-anak saya ke sekolah secara bergilir-gilir,” katanya lagi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MPPK Kampung Jijan, Mohd. Shaufiq Taslim, 37, memberitahu, pihaknya juga sudah memberikan bantuan bagi membantu meringankan beban dihadapi keluarga terbabit. 

“Kami juga turut menguruskan permohonan bantuan secara bulanan daripada pihak Baitulmal melalui amanah zakat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS)untuk isterinya yang berstatus OKU,” kata beliau.

Nasib dihadapi keluarga ini telah mendapat perhatian pihak Baitulmal yang menziarahi dan memberikan bantuan wang tunai segera serta barangan keperluan dapur. 

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN)  bernombor 0510541100044339 atas nama Sihabur Rahman. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.