Siasat punca hotel terbakar enam kali  - Utusan Malaysia

Siasat punca hotel terbakar enam kali 

KEADAAN hotel yang terbakar sehingga turut menjejaskan sebuah restoran di Limbong Kapal, Alor Setar di sini. -UTUSAN/MOHD RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang pembantu pengurus sebuah restoran berharap siasatan dapat dijalankan oleh pihak berkuasa terhadap kebakaran melibatkan sebuah hotel yang turut menjejaskan restoran tempatnya mencari rezeki bersama keluarga serta peniaga-peniaga lain.

Menurut Pembantu Pengurus Kafe Pine2, Mohd. Firdaus Abdul Rahman, 38, hotel berkenaan yang terletak bersebelahan dengan restoran itu di Limbong Kapal di sini, sudah terbakar sebanyak enam kali sejak sebelum Hari Raya Aidiladha lalu.

MOHD. FIRDAUS ABDUL RAHMAN

Bagaimanapun, katanya, lima kebakaran sebelum ini sama sekali tidak menjejaskan restoran berkenaan kerana hanya berlaku dalam skala kecil hinggalah kejadian sama berulang awal pagi ini yang menyebabkan sebahagian daripada restoran tersebut turut musnah.

“Seingat saya, kejadian pertama berlaku sebelum Hari Raya Aidiladha dan kejadian tersebut berulang beberapa kali selepas itu. Ada kalanya, kebakaran itu berlaku di sebelah depan dan ada kalanya di belakang.

“Semalam, kira-kira pukul 8 pagi, sebahagian daripada hotel ini terbakar juga dan akhirnya kira-kira pukul 2.30 pagi tadi, saya terima pula panggilan daripada peniaga di sini memaklumkan yang restoran kami turut terkesan akibat kebakaran yang berlaku.

“Selepas enam kali terbakar, kami nak tahu jugalah apa puncanya. Disebabkan itu, kami mengharapkan supaya pihak berkuasa dapat menyiasat kejadian ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Kebakaran pertama di hotel tersebut direkodkan pada 7 Julai, 11 Julai, 12 Julai, 13 Julai, semalam dan yang terbaru kira-kira pukul 2.15 pagi ini.

Mengulas lanjut, katanya, terdapat kira-kira 10 peniaga lain yang berniaga di tapak restoran tersebut dan kejadian itu sememangnya menjejaskan pendapatan mereka.

“Tapak restoran ini sebenarnya kami sewa dari pemilik hotel itu juga. Kami ada terfikir untuk berpindah ke tapak lain, tetapi, belum sempat berbuat demikian, kejadian ini sudah pun berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohd. Naim Mat Jaafar memaklumkan, pihaknya mendapat maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2.26 pagi tadi.

“Hotel tersebut dianggarkan sebanyak 90 peratus manakala restoran di sebelah kanan hotel itu mengalami kemusnahan sebanyak 20 peratus. Sebuah lagi rumah kedai di sebelah kiri hotel berkenaan dianggarkan terbakar lima peratus.

“90 peratus daripada bangunan ini dibina daripada kayu dan keadaan itu menyebabkan api marak dengan cepat,” katanya.

Beliau memaklumkan, punca kejadian itu bersama lima lagi kebakaran melibatkan hotel tersebut kini masih dalam siasatan. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN