Sewakan kuarters guru kepada generasi kedua Felda - Utusan Malaysia

Sewakan kuarters guru kepada generasi kedua Felda

KEADAAN sebuah kuarters guru di Sungai Sumun, Bagan Datuk yang terbiar begitu sahaja. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kuarters pendidikan yang terbiar di kawasan tanah rancangan Felda dicadang disewakan kepada generasi kedua yang menetap bersama keluarga di situ.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, generasi kedua Felda Bukit Goh, Jefri Salim berkata, di tanah rancangan itu sendiri misalnya, terdapat satu blok kuarters pendidikan yang lebih 10 tahun terbiar dan usang sehingga keadaannya menyeramkan.

“Ia juga menjadi tempat pelajar sekolah ponteng, hisap rokok, kawasan bermain judi, hisap dadah dan aktiviti tidak bermoral dalam kalangan remaja.

“Jadi, daripada dibiarkan terbiar, baik pulih dan sewakan kepada generasi kedua Felda di sini. Memang kos untuk baik pulih tinggi, tapi lebih rugi jika dibiarkan begitu sahaja.

“Sewakan sekurang-kurang RM300 sebulan, saya percaya ramai generasi kedua Felda di sini khususnya yang sudah pun berkeluarga dan belum ada rumah, mahu menyewanya,” katanya di sini semalam.

Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 16,364 unit kuarters guru bernilai hampir RM1 bilion di seluruh negara terus terbiar sehingga menjadi sarang gejala sosial dan jenayah.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan, kerajaan mampu berjimat hingga RM4.9 juta sebulan atau RM58.9 juta setahun jika 16,364 unit kuarters guru terbiar di seluruh negara didiami warga pendidik baharu.

Ia berdasarkan pengiraan guru-guru yang mula berkhidmat pada gred DG41 akan dibayar imbuhan tetap perumahan (ITP) RM300 sebelum menerima RM400 pada gred DG44 dan RM550 untuk gred DG48.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Kementerian Pendidikan segera membaiki lebih 16,000 kuarters guru yang terbiar dan menyewakannya kepada kakitangan awam lain.

Mengulas lanjut, Jefri berkata, jika kuarters guru itu dibaik pulih, ia sebenarnya boleh memberi manfaat kepada golongan muda sekali gus membantu kerajaan menyediakan rumah kepada golongan sasar.

“Lokasi kuarters dikelilingi kawasan kampung, berdekatan sekolah dan dekat laluan utama dilalui penduduk, jika terus dibiarkan usang, ia mencacatkan pemandangan penduduk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN