Semoga Zulhelmi ditemukan selamat - keluarga - Utusan Malaysia

Semoga Zulhelmi ditemukan selamat – keluarga

HELMIZAN Abdul Halim melihat motosikal milik adiknya yang hilang sejak lima hari lalu di sebuah dusun di atas bukit Sungai Batu Pahat, Jalan Bukit Ayer, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Keluarga Zulhelmi Abdul Halim, 28, yang hilang sejak lima hari lalu selepas keluar menebas di sebuah dusun di atas bukit Sungai Batu Pahat, Jalan Bukit Ayer di sini menaruh harapan agar dapat ditemukan dalam keadaan selamat.

Malah, mereka juga melaksanakan solat hajat agar urusan pencarian Zulhelmi dipermudahkan dan kembali ditemukan dalam tempoh terdekat.

Abang mangsa, Mohd Helmizan Abdul Halim, 44, berkata, usaha berkenaan dilakukan sebagai ikhtiar bagi mempermudahkan urusan mencari adik bongsu daripada lima beradik itu.

“Saya baru mengetahui mengenai kejadian ini semalam memandangkan adik menetap bersama ayah dan ibu tiri di Perumahan Behor Lateh di sini.

“Ayah kami juga sudah mengetahui mengenai kehilangan itu dan dia agak terkejut dengan kejadian menimpa adik kami,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Sungai Batu Pahat, Jalan Bukit Ayer di sini hari ini.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, Zulhelmi dipercayai hilang selepas keluar menebas bagi membersihkan sebuah dusun durian yang terletak di atas bukit sekitar Sungai Batu Pahat pada 8 Julai lalu.

Difahamkan, dua rakannya turut terkandas selama satu malam selepas melakukan usaha pencarian mangsa semalam dan berjaya ditemukan dengan selamat hari ini.

Dalam pada itu, Helmizan berkata, adiknya itu juga baru sahaja bekerja bagi mengambil upah menebas dan membersihkan dusun berkenaan.

“Dia (adik) juga ada menghubungi saya pada 4 Julai lalu dan memaklumkan melakukan kerja-kerja mencuci dusun dan membina pondok di sana.

“Ayah saya juga maklumkan Zulhelmi tidak balik sewaktu Hari Raya Aidiladha baru-baru ini dan saya juga cuba hubungi selepas itu, namun, tidak berjaya,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN