Seludup minyak masak lebih serius di Selangor, Johor - Utusan Malaysia

Seludup minyak masak lebih serius di Selangor, Johor

Penyeludupan minyak masak bersubsidi berlaku di seluruh negara termasuk di Selangor dan Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kelantan mungkin didakwa hab penyeludupan minyak masak bersubsidi kerana bersempadan dengan negara jiran tetapi masalah itu lebih serius di Selangor dan Johor.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, apa yang berlaku di Kelantan hanya melibatkan penyeludup bertaraf ‘ikan bilis’ kerana melibatkan kuantiti kecil.

Tetapi katanya, penyeludup utama ataupun kartel minyak masak bersubsidi yang dianggapnya sebagai `jerung besar’ dikesan berpangkalan di Johor dan Selangor.

“Jerung besar terbabit telah 30 tahun beroperasi, mempunyai gudang, tangki stok menyimpan dan lesen sah eksport minyak masak,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Malah menurutnya, setiap bulan jerung besar terbabit mengeksport ribuan metrik tan minyak masak bersubsidi ke luar negara antaranya China, India, Afrika dan Asia Barat dengan keuntungan ratusan juta ringgit.

“Mereka bijak mengaburi mata pihak berkuasa dengan lesen eksport sah yang diperoleh, tetapi sebenarnya mereka beli minyak masak bersubsidi daripada pembekal tempatan untuk dieksport.

“Apabila dieksport ke luar negara mereka dapat harga antarabangsa kira-kira RM9 sekilogram ketika ini. Inilah yang kita katakan jenayah kolar putih,” katanya di sini semalam.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan para penyeludup minyak masak peket bersubsidi menjadikan Kelantan sebagai hab pengumpulan minyak sebelum memasarkannya ke negara jiran dengan mengaut untung sehingga RM25,000 sebulan.

Itu antara modus operandi segelintir ‘tauke’ minyak masak yang dikatakan memborong lebih 1,500 tan metrik bahan subsidi tersebut dari luar negeri ini bagi sekali perjalanan.

Harga minyak masak peket bersubsidi Malaysia di Thailand adalah sekitar RM6.50 hingga RM7 berbanding RM2.50 bagi setiap sekilogram bagi pasaran di negara ini.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata, jerung besar terbabit boleh dikesan jika kerajaan segera melakukan kajian dan forensik keseluruhan terhadap semua pemain industri minyak masak sejak lima tahun di seluruh negara termasuk peruncit, pemborong, pengedar, pembungkus dan pengilang.

“Menerusi usaha ini, kerajaan dapat mengenal pasti kartel dan sindiket utama yang memonopoli minyak masak bersubsidi serta merosakkan sistem ekonomi negara.

“Kerajaan perlu segera bertindak kerana jerung besar dan kartel ini berpengalaman menipu jabatan dan agensi kerajaan sejak sekian lama dan perlu mengambil tindakan yang cukup tegas demi keselamatan pengguna dan negara,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, ketirisan minyak masak bersubsidi juga dikesan berlaku di peringkat pembungkus, sebagai contoh menipu invois telah memperoleh 100 metrik tan minyak tetapi tidak semua dibungkus.

“Hanya sebahagian iaitu 50 metrik tan dibungkus dan selebihnya dijual kepada pembekal,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×