Sedia modal RM40j, MAIWP lahirkan 2,000 usahawan asnaf  - Utusan Malaysia

Sedia modal RM40j, MAIWP lahirkan 2,000 usahawan asnaf 

IDRIS Ahmad beramah mesra bersama peserta Muzakarah Zakat Kebangsaan di Nilai, Seremban, semalam. -UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah memperuntukkan bantuan modal perniagaan sebanyak RM40 juta dalam usaha melahirkan sekurang-kurangnya 2,000 orang asnaf yang berjaya dalam bidang keusahawanan tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, sebanyak 2,000 orang asnaf berkelayakan yang mempunyai kemahiran akan diberi bantuan modal perniagaan supaya mereka dapat keluar daripada kemiskinan sekali gus menjadi penyumbang zakat.

“Sebanyak 2,000 orang asnaf yang berpotensi kami akan menggilap bakat yang ada pada diri mereka untuk menjadi usahawan dan kami akan beri modal teroka sebanyak RM20,000 seorang.

“Asnaf ini akan dilatih oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) untuk berniaga, kami harapkan asnaf ini empat hingga lima tahun lagi akan menjadi pembayar zakat (berjaya dalam perniagaan),” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Muzakarah Zakat Kebangsaan 2022 Kali Kesembilan bertemakan ‘Zakat dan Kemiskinan’ di Nilai, di sini semalam.

Pada masa yang sama, Idris berkata, MAIWP juga mengambil pendekatan lebih berfokus kepada lokaliti dan komuniti melalui program pertanian bandar.

“Program Projek Agropreneur Asnaf MAIWP  telah dilancarkan di Kompleks Darul Kifayah, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur dan kami menyasarkan penanaman cili sebanyak 21,000 polibeg. Ini adalah program pertanian bandar yang kami usahakan untuk membantu para asnaf.  

“Begitu juga Yayasan Waqaf Malaysia sedang dalam proses untuk membangunkan 10 ekar (empat hektar) tanah di Putrajaya untuk program Waqaf Petani dalam kalangan asnaf,” katanya.

Dalam pada itu, Idris memberitahu, sepanjang Januari hingga Jun tahun ini, MAIWP telah mengagihkan zakat berjumlah RM297.14 juta kepada golongan asnaf yang berkelayakan menerusi pelbagai skim yang ditawarkan. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya