Rutin pemuda gigit jeriji besi, pin boling setiap hari - Utusan Malaysia

Rutin pemuda gigit jeriji besi, pin boling setiap hari

RUTIN harian Wan Hasbullah Wan Sulaiman, 30, mundar mandir di ruang tamu rumah sambil gigit pin boling mainan di tangannya dan kadang-kadang dia menggigit gril pintu depan rumah di Taman Sepekan Jaya di Pekan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Gigit jeriji besi dan pin boling mainan selepas mundar-mandir di ruang tamu rumah setiap hari menjadi rutin Wan Hasbullah Wan Sulaiman di Taman Sepekan Jaya di sini.

Usianya kini sudah 30 tahun, namun perangai dan tingkah laku lelaki seperti kebudak-budakan akibat diserang penyakit ensefalopati shigella ketika dia berusia lima tahun.

Akibat penyakit itu, anak sulung daripada tiga beradik tersebut tidak mampu menguruskan diri sendiri termasuk makan, mandi, menukar dan memakai pakaian serta lampin pakai buang.

Tingkah laku Wan Hasbullah menyebabkan kehidupan anak muda itu terpaksa diuruskan ibu dan bapanya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bapanya, Wan Sulaiman Wan Daud, 61, berkata, anak sulungnya itu dilahirkan normal dan sihat tanpa penyakit.

Namun katanya, segala-segalanya berubah apabila dia tiba-tiba tidak sedarkan diri pada 17 Oktober 1997 ketika berusia lima tahun.

“Pada hari kejadian kira-kira pukul 9.30 malam, anak saya waktu itu sedang menonton televisyen cerita Superman. Tiba-tiba dia bagi tahu ibunya, dia nampak garisan kuning di televisyen.

“Ibunya waktu itu minta dia tutup televisyen dan dia pun berbaring di situ. Ketika sedang baring, dia sekali lagi bagi tahu nampak garisan kuning di siling rumah sehingga ke dalam bilik.

“Selepas itu, dia tidak sedarkan diri dan kami terus bawanya ke hospital. Dia hanya sedar sekejap ketika waktu Subuh dengan memaklumkan kepada ibunya badannya panas, lepas itu dia terus tidak sedarkan diri,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, Wan Sulaiman menerima kunjungan Presiden Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir yang melawat dan menyampaikan sumbangan.

Bercerita lanjut, Wan Sulaiman yang juga pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkata, sebelum sedarkan diri, anaknya itu koma lapan hari di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, dekat sini.

“Kini usianya sudah 30 tahun, dia langsung tidak tahu apa, bercakap pun tidak boleh, apatah lagi menguruskan dirinya sendiri. Setiap hari rutin hariannya berjalan mundar mandir di ruang tamu rumah lebih 1,000 langkah sehari.

“Dia jalan sambil gigit pin bola boling mainan, ada 12 biji semua saya beli. Kadang-kadang dia gigit jeriji pintu depan rumah, begitulah rutinnya,” katanya.

Menurutnya, dia dan isterinya, Faridah Musa, 53, sedih mengenangkan nasib anak sulungnya itu, tetapi apakan daya mereka perlu tabah menghadapinya kerana ia ujian Allah SWT.

“Saya dan isteri semakin berusia, pernah sewaktu hendak memandikan Wan Hasbullah, dia tolak kami begitu sahaja, kudratnya kuat berbanding kami.

“Ketika masih hidup ini bolehlah kami menjaganya, jika tiada nanti siapa mahu jaga dengan keadaannya begini. Sedih sampai saya terfikir biarlah dia pergi dahulu ketika kami masih hidup kerana bimbang tiada orang mampu menjaganya nanti,” katanya sebak.

Beliau berkata, biar apa pun keadaan anak sulungnya itu, pe­rasaan sayang terhadapnya tidak pernah berkurangan sama seperti dua anaknya yang lain.

Dia juga tidak pernah putus harapan agar Wan Hasbullah pulih suatu hari nanti dan berharap jika ada pakar dan pengamal perubatan yang boleh merawat penyakit anaknya tampil membantu. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya