Runding, struktur semula pinjaman - Utusan Malaysia

Runding, struktur semula pinjaman

BANK Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak tiga kali tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank-bank komersial perlu melaksanakan dasar ‘buka pintu rundingan’ kepada peminjam-peminjam khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) berikutan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) yang membawa kenaikan kadar faedah pinjaman.

Langkah itu akan membantu golongan itu yang merupakan golongan rentan daripada teruk terjejas akibat pertambahan bayaran ansuran bulanan pinjaman, yang diburukkan lagi dengan kenaikan kos sara hidup dan bahan makanan asas.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, bank sebagai ejen runding cara dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sepatutnya menyediakan ruang kepada peminjam B40 untuk memastikan mereka mampu menjelaskan komitmen bulanan secara konsisten.

SLIP GAJI

“Mungkin pengetahuan da­lam pengurusan kewangan bagi golongan ini terhad, maka, dengan adanya pakej ini, peminjam boleh membuat penstrukturan semula bayaran iaitu dengan bayaran lebih rendah dengan memanjangkan tempoh pinjaman. Mereka boleh berurusan di satu kaunter khas dengan membawa slip gaji masing-masing.

“Bank tidak akan rugi, cuma membantu memberi jalan penyelesaian pragmatik dengan memanjangkan tempoh bayaran. Saya yakin, bank yang mesra rakyat dalam tempoh sukar ini akan sentiasa diingati, malah inisiatif ini akan menggalakkan lebih banyak pelaburan pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi semalam.

OPR mewakili kadar faedah minimum dikenakan dalam kalangan bank bagi pinjaman antara bank yang ditetapkan oleh BNM bertujuan mengawal bekalan wang dan mempengaruhi hala tuju ekonomi negara.

Kadar faedah kepada pinjaman orang awam akan terkesan sama apabila kadar faedah pinjaman wang antara bank terkesan kerana bank mengalihkan kos pinjaman lebih tinggi kepada pengguna menerusi kenaikan kadar faedah.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, lebih lima juta peminjam akan berdepan kenaikan kadar baharu faedah bank dan peningkatan kos sara hidup susulan langkah kerajaan menaikkan OPR dan B40 adalah golongan paling terkesan selepas kenaikan itu.

Senada dengan Mohamad Idham, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Dasar dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE), Dr. Zokhri Idris yang berkata, dalam proses penstrukturan semula itu berjalan, kedua-dua pihak perlu memastikan terdapat ketetapan masa bayaran perlu diselesaikan mengikut nilai pinjaman ter­tentu.

“Contohnya, kalau pinjaman saya RM100 setiap bulan tetapi saya tidak mampu bayar dan setelah membuat perkiraan boleh bayar setakat RM50, berapa lama tempohnya saya boleh bayar pinjaman lebih rendah setelah dirunding dengan pihak bank,” katanya.

Selain itu, Zokhri mengingatkan golongan B40 yang sudah membuat pinjaman dengan bank supaya tidak membuat pinjaman baharu, manakala mereka yang sudah meminjam untuk menjelaskannya sebelum OPR menaik lebih tinggi.

“Kalau ada dalam kalangan kita masih boleh jelaskan pinjaman, maka jelaskanlah. Tetapi bagi mereka yang terdesak dan tiada tunai yang cukup, cara terbaik ialah struktur semula pinjaman dan berbincang dengan bank,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN