PETALING JAYA: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon akan memberikan jawapan dan penjelasan selewat-lewatnya esok berhubung tindakan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat.
Menurut Mohd. Rashid, beliau kini sedang memanggil saksi-saksi terlibat untuk meneliti dakwaan itu sebelum memberikan jawapan berhubung perkara berkenaan.
“Sebagaimana cadangan surat yang ditulis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, surat ini telah dihantar dan beliau (Tan Sri Azhar Azizan Harun) menerima surat ini, beliau meminta saya mengendalikan pertemuan untuk memanggil saksi-saksi.
“Ia dalam proses, sebahagian saksi telah diaturkan pertemuan mereka. Saya selepas itu akan berikan rumusan keseluruhan dalam minggu ini, selewat-lewatnya mungkin esok,” katanya di Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) bangkit meminta penjelasan Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung sepucuk surat yang dihantar berhubung tindakan Tajuddin yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat pada sidang Parlimen minggu lalu.
Menurut Kasthuriraani, tindakan Ahli Parlimen Pasir Salak itu bukan sahaja menjejaskan integriti Dewan Rakyat tetapi menjadi contoh buruk kepada anak-anak muda yang melihat perbuatan berkenaan.
“Saya kecewa dengan Yang Dipertua beri amaran sahaja, kerana ini boleh rujukan yang sangat bahaya pada masa akan datang sedangkan ada sembilan saksi yang melihat perbuatan itu walaupun mikrofon ditutup.
“Kami berharap satu keputusan bijak Yang Dipertua Dewan dan kami mahu beliau (Tajuddin) tarik balik dan minta maaf, itu sahaja,” katanya.
Minggu lalu, ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Gangguan Seksual, Tajuddin menggelar beberapa ahli Parlimen wanita DAP mempunyai perangai tidak senonoh sebelum Dewan Rakyat kecoh seketika. – UTUSAN