Rombak pengeluaran minyak masak jika penyelewengan berterusan

Rombak pengeluaran minyak masak jika penyelewengan berterusan – Annuar

ANNUAR Musa (tiga kiri) semasa turun padang ke Majlis Korban Perdana Peringkat Parlimen Ketereh di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Ketereh, Kelantan hari ini. -UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi sedia merombak keseluruhan sistem pengeluaran minyak masak paket bersubsidi bermula daripada pengilang sehinggalah ke pengedar jika penyelewengan barangan subsidi kerajaan itu ke negara jiran terus berlaku.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah  tersebut mungkin akan menjejaskan peluang perniagaan bagi sesetengah orang, namun, kerajaan tidak boleh mengetepikan nasib rakyat.

Menurutnya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4 bilion untuk subsidi minyak masak peket dan ia adalah sesuatu yang merugikan jika rakyat di bawah tidak mendapat bekalan bahan mentah itu disebabkan penyelewengan.

“Untuk tempoh dua bulan ini, kita mempunyai pelan tindakan untuk mengatasi sementara masalah kekurangan bekalan dan perkara tersebut sudah berada dalam pengetahuan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Selain itu, kita juga akan duduk dengan kesemua 22 pengilang besar minyak masak secara pukal untuk menyampaikan sendiri mesej yang tegas supaya mengikut peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya semasa ditemui pemberita pada Majlis Korban Perdana Peringkat Parlimen Ketereh di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di sini hari ini.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia memberitahu, jawatan kuasa itu sudah dapat bukti yang cukup bahawa berlaku ketirisan besar sehingga semua pekan-pekan di sempadan Thailand tidak putus stok bekalan minyak subsidi walaupun dijual pada harga RM7 hingga RM8.

Katanya, minyak masak tersebut dijual dengan banyak dan masih dibungkus elok di dalam kotak.

“Ia bukan penyeludup yang kecil. Kalau datang dalam kotak yang belum buka, ia datang terus dari kilang. Kita sudah membuat penyiasatan dan akan mendapati ada penglibatan pihak tertentu

“Buat masa ini, saya tidak boleh dedahkan perkara tersebut kerana dibimbangi ia akan menjejaskan siasatan,” ujarnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan minyak masak peket Malaysia `pelaris’ di pasaran Golok apabila bahan mentah itu dijual tanpa kawalan dan bebas. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN