Roboh stadium: Jangan ulangi kesilapan di Litar Batu Tiga - Utusan Malaysia

Roboh stadium: Jangan ulangi kesilapan di Litar Batu Tiga

WAKIL daripada Sekretariat Gabungan NGO Selangor dan Pertubuha Kami Prihatin Selangor mengadakan perhimpunan aman di hadapan Stadium Shah Alam bagi membantah perobohan bangunan tersebut di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri digesa tidak mengulangi kesilapan merobohkan Litar Batu Tiga pada 2003 yang digantikan dengan perumahan mewah, kompleks perniagaan dan pusat komersial ketika pentadbiran bekas Menteri Besar, Dr. Mohd. Khir Toyo.

Tindakan sedemikian didakwa sememangnya mengecewakan kumpulan belia di negeri ini yang menjadikan pusat sukan sebagai lokasi untuk beriadah dan mengadakan pelbagai aktiviti dalam kalangan mereka sendiri.

Pengerusi Pertubuhan Kami Prihatin Selangor, Ahmad Mua’dzam Shah Yaakop berkata, Stadium Shah Alam dan kawasan sekitar tidak sepatutnya menerima nasib serupa seperti Litar Batu Tiga walaupun terdapat pembangunan yang menjana pendapatan kerajaan negeri.

“Tak sepatutnya mengulangi kesilapan merobohkan Litar Batu Tiga, kerana ini merupakan satu motivasi anak muda untuk terus aktif dalam apa sahaja sukan. Memang ada antaranya pada 2008 itu, kejatuhan Barisan Nasional (BN), belajarlah daripada situ.

“Jangan sampai hendak roboh, tak boleh pakai baru hendak dibetulkan. Ini satu amalan yang tidak sihat dan tidak cekap telah dilakukan oleh kerajaan negeri. Kalau boleh kita selenggara semula, cantikkan semula stadium, kehebatannya akan kembali, gah semula, semangat penyokong-penyokong Selangor akan turun kembali ke Stadium Shah Alam,” kataya.

Beliau berkata demikian bersama kira-kira 30 orang yang hadir dalam perhimpunan aman membantah perobohan dan pembinaan semula Stadium Shah Alam di hadapan laluan masuk utamanya, hari ini.

Tambahnya, Seksyen 13 perlu dikekalkan sebagai ‘lembah sukan’ tanpa sebarang pembangunan yang bersifat keuntungan, sebaliknya meningkatkan kualiti fasiliti dan menambah pelbagai lagi kemudahan sukan.

Dalam wawancara Mingguan Malaysia semalam, bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib memaklumkan kecewa dengan perobohan Litar Batu Tiga yang menjadi sebahagian daripada lembah sukan meliputi Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah.

Sementara itu, Presiden Sekretariat Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor, Datuk Nazilah Idris mendedahkan, kerajaan negeri dijangka membelanjakan sehingga RM1.3 bilion untuk membangunkan keseluruhan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).

Beliau menempelak kerajaan negeri jika tindakan sedemikian diambil apabila menegaskan dana itu boleh digunakan untuk membantu rakyat yang kesempitan serta menyelesaikan masalah banjir di Selangor.

“Stadium masih lagi utuh, tak perlu dirobohkan. Kos roboh, satu, kos untuk bina balik, satu dan melibatkan sehingga RM1.3 bilion yang menggunakan duit rakyat, yang sepatutnya duit itu digunakan untuk menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat. Bukan ini yang diutamakan.

Dahulu merupakan mercu tanda, kenapa hendak roboh, masih utuh cuma perlu tambah baik, pulihkan dengan kos lebih kecil. Itu yang saya minta Menteri Besar fikirkan semula dan kami minta beliau beri satu solusi lebih baik dan tidak mengecewakan rakyat Selangor,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan satu memorandum bantahan akan dihantar ke Pejabat Menteri Besar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada esok, pukul 10 pagi. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya