TAIPING: Pusat Koreksional Kamunting di sini mengeluarkan lebih 12 tan metrik bekalan makanan sebulan yang dihasilkan melalui usaha pertanian dan penternakan yang dijalankan oleh penghuni pusat itu.
Pengarah Penjara Perak, Faisal Mohamed Noor berkata, hasil pengeluaran itu adalah untuk bekalan makanan sara diri seluruh penjara di Perak dan di Penjara Jawi di Pulau Pinang.
“Kita membekalkan ikan keli dan sayur-sayuran dua hingga tiga kali dalam sebulan kepada seluruh penjara di Perak termasuk di Jawi, Pulau Pinang.
“Di samping itu, hasil sayur-sayuran yang dikeluarkan di pusat koreksional ini turut dijual di Pasar Awam Kamunting dengan harga yang rendah dan sambutannya amat menggalakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran ‘My Pride Kamunting Beef’ di Pusat Koreksional Kamunting di sini hari ini.
Majlis dirasmikan Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parlimen Taiping, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie.
Menurut Faisal, Pusat Koreksional Kamunting merupakan salah satu institusi penjara yang menjalankan kemahiran dalam bidang agro pertanian bagi melahirkan usahawan dalam bidang itu sejak 20 tahun lalu.
“Seramai 1,500 penghuni telah menerima latihan kemahiran bersijil melalui Program Latihan Dual Nasional (SLDN) sejak tahun 2007.
“Hasilnya kini, pusat koreksional ini mampu mengeluarkan lebih 12 tan metrik bekalan makanan sebulan untuk bekalan sara diri penjara termasuk dipasarkan untuk penduduk tempatan,” katanya.
Menurutnya, antara hasil pertanian dan penternakan yang dikeluarkan sebulan ialah kangkung 1.7 tan metrik, taugeh 2.2 tan metrik, pengeluaran hasil pertanian lain 1 tan metrik, ikan keli 8 tan metrik dan daging lembu 600 kilogram.
“Pusat ini masih lagi mempunyai kawasan yang luas dan kita akan perluaskan lagi projek ternakan dan pertanian ini.
“Pusat koreksional ini juga mengeluarkan produknya sendiri hasil daripada pertanian dan penternakan itu bukan hanya untuk bekalan makanan sara diri, namun, kini juga untuk menampung permintaan terhadap sekuriti makanan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Shalimin berkata, pelancaran My Pride Kamunting Beef dapat membantu menambahkan sekuriti makanan dalam keadaan inflasi yang tinggi.
Beliau berkata, barangan yang dijual di sini berpatutan serta bermutu tinggi dan barangan industri kampung yang diletakkan pusat itu juga dapat membantu usahawan kecil dan sekali gus mengurangkan kegiatan orang tengah.
“Saya akan berbincang dengan Kementerian Pembangunan Usahawan untuk menambahkan apa juga keperluan di sini,” katanya. –UTUSAN