Projek PoP di Sabah perlahan, syarikat terima tender dipantau - Utusan Malaysia

Projek PoP di Sabah perlahan, syarikat terima tender dipantau

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia ketika ini sedang memantau syarikat yang diberikan tender memasang hab rangkaian gentian optik titik kehadiran atau Point of Presence (PoP) di 700 sekolah luar bandar di Sabah.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemantauan itu dilakukan selepas pelaksanaan projek yang sepatutnya siap akhir tahun ini agak perlahan dan syarikat terlibat perlu meningkatkan prestasi pelaksanaan di bawah PoP Fasa 1 itu.

“Semua projek PoP di sekolah terbabit ini akan diteruskan dan kementerian akan melancarkan PoP Fasa 2 sebelum penghujung tahun ini. Sabah dan Sarawak juga akan diberi keutamaan bagi projek ini,”  katanya pada sesi soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) mengenai perkembangan pelaksanaan projek PoP di sekolah luar bandar Sabah yang diumumkan pada Mac lalu.

Sebelum ini, kerajaan meluluskan pemasangan hab rangkaian gentian optik titik kehadiran di 700 sekolah luar bandar di Sabah bagi memberi jaminan kestabilan perkhidmatan internet jalur lebar kepada penduduk di negeri berkenaan.

Sementara itu, Annuar berkata, sebanyak 85 tapak menara telekomunikasi siap dibina di Sarawak manakala 741 lagi sedang dalam pembinaan di bawah program Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1.

“Bagi naik taraf stesen pemancar pula, sebanyak 2,933 menara siap dinaik taraf manakala 247 lagi sedang dalam proses naik taraf di seluruh negeri Sarawak.

“Komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan negeri Sarawak mendapat khidmat internet terbaik adalah jelas, sejumlah RM4.09 bilion di bawah Jendela Fasa 1 diperuntukkan dan sedang dalam pelaksanaan,” katanya bagi menjawab pertanyaan Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong (GPS-Hulu Rajang).

Wilson dalam pertanyaannya mahu Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan peruntukan kewangan yang diperuntukkan untuk pelaksanaan program Jendela di Sarawak amnya dan Baram khasnya serta ingin tahu bilangan menara telekomunikasi serta jadual pelaksanaan kemudahan ini.

Dalam pada  itu, Annuar berkata, peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sarawak meningkat kepada 84.24 peratus pada suku pertama 2022 berbanding 73.67 peratus sebelum pelaksanaan Jendela.  –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN