Polis sahkan terima laporan keluarga pemilik kelab komedi didakwa diugut  - Utusan Malaysia

Polis sahkan terima laporan keluarga pemilik kelab komedi didakwa diugut 

Premis kelab komedi di Taman Tun Dr. Ismail yang disimbah cat pagi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis mengesahkan menerima laporan yang mendakwa keluarga pemilik kelab komedi menerima ugutan bunuh daripada individu tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, laporan polis dibuat pemilik syarikat Mycomedy Sdn. Bhd. semalam.

“Polis mengesahkan laporan yang dibuat, ugutan diterima oleh isteri pemilik kelab berkenaan dari seorang lelaki tidak dikenali.

“Ugutan yang diterima mempunyai kaitan dengan kejadian simbahan cat di premis tersebut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Media semalam melaporkan kelab komedi di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) di sini disimbah cat berwarna merah dan hitam.

Kejadian itu disedari selepas pihak polis menerima panggilan berhubung insiden berkenaan daripada orang awam pada pada 7 pagi. 

Pada 14 Julai lalu, polis menahan pengasas bersama kelab komedi berkenaan bagi membantu siasatan berhubung insiden seorang wanita menghina agama Islam dalam satu persembahan komedi berdiri di kelab itu.

Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.30 tengah hari selepas memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN