PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menerima kunjungan hormat oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ericsson Group, Börje Ekholm.
Dalam satu kenyataan, Ismail Sabri berkata, kunjungan tersebut bertujuan mendapatkan status terkini berhubung Pelaksanaan Rangkaian 5G di Malaysia.
“Perbincangan tertumpu kepada status terkini Pelaksanaan Rangkaian 5G di Malaysia yang mampu menjadi perintis kepada pembangunan prasarana dan liputan rangkaian 5G.
“Ericsson sendiri mengakui bahawa Malaysia mampu menjadi perintis kepada pembangunan prasarana dan liputan rangkaian 5G,” katanya.
Beliau berkata, teknologi serta rangkaian 5G memainkan peranan besar dalam melonjakkan daya saing ekonomi negara.
“Saya sebagai Perdana Menteri amat memahami bahawa teknologi dan rangkaian 5G memainkan peranan besar dalam melonjakkan daya saing ekonomi Malaysia Impak positif yang bakal diterima oleh Keluarga Malaysia.
“Malah, tahap produktiviti dan nilai tambah industri dari pelaksanaan teknologi 5G amat jelas sekali.” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata setelah 57 tahun bertapak di Malaysia, syarikat Ericsson komited mempergiatkan aktiviti dan pelaburan mereka di negara ini. –UTUSAN ONLINE










