PM ajak rakyat hiasi premis dengan Jalur Gemilang - Utusan Malaysia

PM ajak rakyat hiasi premis dengan Jalur Gemilang

ISMAIL Sabri Yaakob melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Dataran Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa rakyat tanpa mengira latar belakang agar dapat menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan 2022.

Beliau malah meminta masyarakat supaya mewarnai perayaan kali ini dengan menghiasi bendera Jalur Gemilang di setiap premis demi mencerminkan rasa cinta kepada negara.

“Selain itu, cara lain bagi membuktikan perasaan tersebut ialah dengan mengamalkan nilai-nilai murni,” katanya ketika berucap merasmikan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama-sama lebih 15,000 peserta berjalan santai bergerak dari Dataran Putra menuju Dataran Putrajaya sebelum melancarkan Konvoi Kembara Keluarga Malaysia.

Turut serta mengiringi beliau ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022.

Perbarisan Hari Kebangsaan 2022 akan kembali berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos manakala Hari Malaysia 2022 di Bandar Melaka pada 16 September.

Perayaan berkenaan akan diraikan lebih meriah setelah dua tahun terpaksa dilaksanakan di sini dalam suasana kecil susulan kebimbangan penularan wabak Covid-19 pada ketika itu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau melahirkan kesyukuran dan berasa gembira melihat sambutan rakyat yang hadir bersama-sama memeriahkan pelancaran program berkenaan.

“Sejajar tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama, semangat ini harus disemarakkan dan dihayati segenap lapisan masyarakat dalam kita mendepani cabaran semasa global,” tambahnya.

Pada masa sama, beliau menggesa rakyat bijak menggunakan media sosial secara berhemah bagi memperkasakan sambutan Bulan Kebangsaan 2022 dengan hantaran ucapan-ucapan murni.

Beliau juga meminta rakyat bersyukur dapat mula menikmati kesejahteraan hidup seperti sebelum pandemik melanda dunia selepas berjuang memerangi pandemik dua tahun lalu. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN